Ada orang yang sebelum mengandung, berat badan naik mendadak. Kemudian kurus langsing selepas melahirkan anak. Siapa kata, perempuan selepas bersalin, potongan badan akan lari? Jika kamu bijak menggunakan kesempatan yang ada ketika berpantang, kamu mampu untuk kembali seperti anak dara. Sebenarnya, rutin sebagai ibu beranak kecil itu sendiri akan automatik membuat kamu turun berat badan.


Berikut antara beberapa petua moden dan tradisional yang boleh kamu lakukan sepanjang tempoh berpantang. Inya Allah, jika dibuat dengan konsisten dan tepat, pasti berat badan ideal berjaya diperolehi. Yang penting, jangan malas, jangan culas dan jangan terlalu bebas. Ada perkara boleh dan tidak.


Kredit Foto: Google


  1. Jangan ‘skip’ untuk menyusukan bayi dengan susu badan. Ternyata, ibu yang menyusu badankan anaknya akan mudah kehilangan berat badan berbanding ibu yang memberi anaknya susu formula.
  1. Ramai para ibu akan mengikut menu berpantang yang disarankan bidan atau emak, jadi inilah masanya memilih menu terbaik untuk kamu tidak makan secara berlebihan. Pada ketika ini pun, kebiasaannya selera makan tidak berapa ada kerana sibuk melayan badan dan anak. Kawal pengambilan karbohidrat, lemak dan gula.
  1. Banyakkan minum air putih. Tiada fakta yang mengatakan minum banyak air akan memudaratkan ibu berpantang. Minumlah bergelas-gelas, tambahan pula jika kamu menyusu badan.
  1. Jangan lupa ambil banyak buah-buahan juga untuk melawaskan pembuangan air besar. Jika ragu-ragu, ambillah buah yang selamat seperti oren, anggur, kurma, epal merah, strawberi, peach, prune, kismis, longan cina dan beri biru.
  1. Tidak salah untuk mengikut cara berpantang orang dulu seperti berpilis, berparam, bersauna, bertangas, bertungku dan sebagainya. Buat sahaja jika ia tidak memberi tekanan kepadamu.
  1. Pemakaian korset atau bengkung bukan saja digalakkan oleh para bidan, malah doktor juga menyarankan pemakaiannya terutama kepada ibu yang bersalin secara pembedahan untuk menyokong kekenduran otot perut ketika berjalan.
  1. Berpantang bukan alasan untuk hanya terbaring membelek anak. Walaupun ada ibu atau bidan membantu menguruskan hal kamu, namun ambil masa terluang dengan melakukan riadah ringan. Ini penting untuk melancarkan peredaran darah, merelakskan otot, meningkatkan metabolisme dan menurunkan berat badan. Boleh saja berjalan-jalan di sekitar rumah sehingga berpeluh.
  1. Ada petua orang tua yang menyarankan minum kopi o sehari sekali. Elakkan mencampurkan gula. Ia bagus untuk meningkatkan kadar metabolisme badan.
  1. Selepas habis darah nifas, boleh sahaja jika kamu mahu melakukan puasa sunat seminggu sekali, jika berkemampuan dan tidak memudaratkan bayi yang disusukan.
  1. Elakkan makan lewat malam ya. Pastikan kamu mengambil makan malammu sebelum jam lapan malam. Jika terasa lapar, cukuplah dengan mengunyah kekacang atau buah.


Kredit Foto: Google