Sejak kebelakangan ini, bagaikan sudah menjadi trend penceritaan bagi orang yang berjaya dan kaya-raya seakan berbangga dengan kejayaan yang dimilili walau tanpa pelajaran tinggi.


Lebih menyedihkan, ada sesetengah mereka dengan lantang mengeluarkan kenyataan bahawa pelajaran tinggi atau kepandaian akademik bukanlah penentu masa depan seseorang.


Bagaimana kenyataan sebegitu perlu dikeluarkan oleh seseorang yang sudah berada di kemuncak kejaaan hidup? Apa agaknya tujuan segelintir orang begini yang tergamak meletakkan ilmu dan pelajaran itu sebagai satu elemen yang begitu bawah sekali seolah-olah tidak pergi sekolah pun tak mengapa?


Sedangkan dalam Islam sendiri menyarankan umatnya untuk pergi menuntut ilmu sehingga ke negeri China. Maksudnya, sempadan ilmu itu tidak pernah ada akhirnya.


Ia perlu digali lebih dan lebih lagi walau sepandai atau sehebat mana pun kamu sudah tersedia. Jangan ditidakkan kepentingan ilmu dalam ‘memanusiakan’ seseorang itu.



Kredit foto: Google


Ilmu Dituntut Bukan Untuk Menjadi Kaya Sahaja

Kekayaan bukanlah kayu pengukur seseorang itu benar-benar berjaya. Ada ilmuan yang mati secara husnul khotimah tidak meninggalkan wang dan harta pun. Adakah kita boleh katakan yang dia bukan insan berjaya di dunia ini?


Ada seorang yang kaya tidak berilmu dan beramal, mati dalam kekufuran, tetapi diangkat sebagai wira kerana meninggalkan jutaan harta.


Adakah begitu penilaian kita pada zaman ini? Maka, anak-anak muda terus ‘dicuci’ minda dan jiwanya untuk memahami bahawa kekayaan itu adalah penentu kamu seorang yang berjaya.


Maka, kalau tidak belajar bersungguh-sungguh pun tidak mengapa, asalkan kelak kamu dewasa kamu boleh mencari duit berkoyan-koyan.


Di sini, sesuatu yang kamu lupa ialah mendidik anak-anak untuk membesar dengan akhlak dan jiwa kemanusiaan. Lantas, terlalu diasak dengan material dan kebendaan duniawi.


Sedangkan ke sekolah atau universiti, bukanlah semata-mata untuk mendapat kedudukan yang tinggi apabila melangkah keluar nanti.

Anak-anak di hantar belajar untuk mengenal erti kehidupan yang hakiki. Mengasah kemahiran. Meninggikan jati diri. Mendidik etika dan mengasuh jiwa. Minda anak-anak harus ‘ditajamkan’ hari demi hari mengikut peringkat demi peringkat.


Maka, semua jenis subjek pembelajaran yang diajar guru itulah modalnya.


Kredit foto: Google

Jadilah Orang Kaya Berjaya Dengan Kehormatan

Kerana itu, ada kala kita melihat ada segelintir mereka yang kaya dan kononnya ‘berjaya’ itu kurang etika dan kesantunan dalam hidupnya. Apabila bercakap, kurang manfaat dan hikmahnya.


Yang banyak hanyalah angan-angan dan jiwanya sarat material dan duniawi semata.


Namun, bukanlah semuanya begitu. Yang kaya dengan ilmu dan jiwa sangat dipuji dan diharapkan lebih ramai golongan sebegini hadir di muka bumi ini.


Andai kita kaya dengan usaha dan takdir walau tanpa pelajaran tinggi, maka belum terlewat untuk memulakan pencarian ilmu itu.


Lantaran, ilmu dituntut tanpa mengira usia dan pangkat. Mungkin dulu kita miskin, tidak mampu belajar tinggi. Nah, kala sudah diberi kesenangan, bolehlah mengutip kembali keciciran ketika muda, yakni ilmu.


Tidak kisah apa jua ilmu; baik ilmu dunia mahupun akhirat. Orang yang berilmu itu akan sentiasa bercahaya walau ke mana sahaja dia pergi.