gaya hidup

“Yang Pergi Usahlah Terlalu Ditangisi, Yang Ada Janganlah Terlalu Gembira Sebab...” Datuk Nora Titip Pesanan Dan Semangat.

gempak
Huda Hussain
30/08/2021
04:19 MYT
Sponsor Banner
“Yang Pergi Usahlah Terlalu Ditangisi, Yang Ada Janganlah Terlalu Gembira Sebab...” Datuk Nora Titip Pesanan Dan Semangat.
Sama ada sedar atau tidak, tatkala kita membuka laman sosial dan apa jua aplikasi perbualan ketika ini sana sini berita pemergian dan kehilangan insan tersayang yang kita baca dan dengari. Kalau dahulunya mungkin pertalian dan perhubungan si mati dengan kita jauh. Rakan kepada rakan, saudara jauh dan sebagainya. Tetapi semakin lama, perhubungan dan ikatan si mati dengan kita kian dekat. Suami kehilangan isteri, isteri kehilangan suami, anak kehilangan ibu dan ayah. Umpamanya lafaz takziah itu lebih kerap kita ucapkan berbanding ucapan tahniah. Allahu, rapuhnya usia. Singkatnya masa.
Dan menyedari hakikat kehidupan ini, pelbagai kata-kata nasihat yang sering kita dengari atau mahu kita singgah di halwa telinga buat bekal semangat. Kerana sejujurnya setiap ujian itu hadirnya untuk memberi kekuatan tanpa kita sedar.
Kredit Foto: IG Datuk Nora Ariffin
Lantaran itu, menerusi muat naik penyanyi kesayangan ramai, Datuk Nora Ariffin ada menitipkan sesuatu buat mereka yang sedang diuji. Memulakan bicara dengan lafaz keramat Bismilahirahmanirahim, kongsi Nora bingkisan video itu dibuat atas permintaan ramai yang diuji dengan pemergian insan tersayang secara mengejut dalam waktu terdekat.
Luahnya, “Allahu Akbar, memang saya faham betapa peritnya, besarnya ujian orang yang kehilangan orang tersayang. Memang… Memang bukan mudah tapi percayalah puan-puan, tuan-tuan mungkin anak-anak sekalian hanya sabar dan reda sahaja yang boleh menenangkan kita. Especially anak-anak yang kehilangan ibu ayah dalam sekelip mata. Masya Allah, sekelip mata boleh jadi yatim piatu. Bayangkan kesusahan mereka, keperitan mereka nak membesar tanpa ibu ayah. Allahu Akbar…
Kepada suami yang kehilangan isteri, isteri yang kehilangan suami… Ketahuilah Allah sedang menguji kita dan jagalah orang-orang yang ditingggalkan seperti anak-anak. Anak-anak itu adalah zuriat dan amanah yang mereka tinggalkan. Jadi kita kena pegang amanah tu, kena jaga betul-betul. Saya selalu membayangkan kalau arwah melihat saya dan juga anak-anak… Saya pasti arwah pun tak nak tengok kita bersedih selalu, arwah nak tengok macam mana kebijaksanaan kita menjaga anak-anak dan juga amanah, zuriat mereka. Jadi buatlah yang terbaik.
Kredit Foto: IG Datuk Nora Ariffin
Yang pergi usahlah terlalu ditangisi, yang ada janganlah terlalu gembira sebab kita tak tahu hari ni hari orang. Esok lusa hari kita. Hari ini Allah ambil orang yang kita sayang, esok lusa hari kita juga. Kita kena sentiasa prepare, kena persiapkan diri kita menghadapi ajal kita. Kita tak tahu kan?… Sentiasa kita berdoa yang terbaik. Insya-Allah… Saya ulangi, hanya sabar dan reda sahaja boleh menyebabkan hati kita tenang dan menerima semua yang berlaku ini, kun fayakun. Bila Allah kata jadi, jadi. Segala yang berlaku adalah izin Allah, ketentuan Allah dan juga qada’ qadar Allah. Jadi kita sebagai orang Islam, kita kena terima betul-betul. Kita kena beriman betul-betul.
Insya-Allah… Insya-Allah kita semua akan pergi ke situ. Lambat dengan cepat saja. Sama-sama kita sentiasa berdoa kepada yang telah pergi, moga mereka ditempatkan di tempat yang baik, masukkan mereka ke syurga, kita berjumpa lagi dan kita juga sama-sama kita berdoa semoga dikurniakan husnul khotimah akhir kalam yang baik, pengakhiran yang baik seperti mana yang kita lihat orang-orang yang baik pergi. So, Insya-Allah sama-sama berdoa. Stay safe, stay strong dan sabar dalam menghadapi segala ujian Allah,” tuturnya diakhiri dengan lafaz salam.
Hanya yang melaluinya sahaja yang tahu betapa getir dan peritnya menempuh ujian juga takdir yang telah tertulis ini. Dan bagaimana Datuk Nora lalui saat kepergian suami tercinta, Allahyarham Johan Nawawi tanggal 24 Mac 2017 lalu dan dua tahun selepas itu, Allah memilihnya sekali lagi untuk diuji dengan kepergian anak kedua, Allahyarham Alif Johan yang menemui Ilahi pada 14 Disember 2019. Moga apa yang dititipkan bisa memberi semangat baru untuk sesiapa jua kembali bangkit dan sabar serta reda dengan ketentuan-Nya.
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live