Laman Utama
Get It Beauty On The Road, Kongsi Tips Cantik & Make Up Look Ala Korea Untuk Raya
Rancangan kecantikan popular Korea, Get It Beauty On The Road yang dihoskan oleh aktres, Kim Jung Min kini kembali lagi untuk musim kedua.
Istimewanya musim ini, Get It Beauty On The Road memberikan fokus kecantikan kepada wanita-wanita di Malaysia yang bakal menyambut kedatangan hari raya Aidilfitri tidak lama lagi.
Menampilkan aktres Kim Jung Min dan jurusolek artis terkenal Korea, Kim Ki Soo, program ini akan membincangkan tentang cara untuk kelihatan cantik dan berseri seperti selebriti Korea.
Menurut Ki Soo, dia berasa gembira dan berbesar hati apabila mendapat tahu peneriaan wanita di negara ini terhadap produk kecantikan Korea.
“Saya mahu mengetengahkan cara solekan Korea yang nampak lebih neutral, saya berasa sangat terharu kerana wanita di Malaysia juga sukakan solekan minimalis seperti itu.
“Tidak dinafikan, saya juga perasan ada sesetengah wanita yang gemarkan solekan tebal tapi saya dapat merasai trend tersebut sudah berubah dan mereka lebih gemarkan solekan yang membuatkan wajah kelihatan lebih neutral dan asli,” ujarnya ketika ditemui Gempak.
Selain itu, Get It Beauty On The Road juga akan berkongsi tips-tips mengenai cara penjagaan wajah dan kesihatan sempena menyambut hari raya.
Antara segmen-segmen menarik program berkenaan adalah Get It Beauty Solved, Get It Do It, Talking Mirror, What’s In Your Bag dan Blind Test.
Selain Jung Min dan Ki Soo, program ini juga turut dihoskan oleh pelakon, Nadiyah Shahab.
Get It Beauty On The Road in Malaysia bakal bersiaran bermula Isnin, 27 Mei 2019, jam 11:00 malam di Astro Ria (saluran 104) dan Jumaat, 31 Mei 2019, jam 8:00 malam di tvN Asia (saluran 395).
Must-Watch Video