Raikan Wira Wonda Kita! Kongsikan kisah inspirasi wira anda & menangi wang tunai RM10,000

#MLM2021: Ajak Janji Beri Persembahan Terbaik Bersama Tobat - "Terima Kasih Bell & Ropie Kerana Kepercayaan Ini..."

Fiza Kamarudin
01/11/2021 08:20 MYT
Pelawak dan penyampai radio, Ajak berjanji untuk memberikan persembahan terbaik bersama kumpulan Tobat yang turut dianggotai Bell dan Ropie.

Ajak berkata, selepas menerima pelawaan kedua-dua pelawak senior tersebut untuk menyertai Maharaja Lawak Mega (MLM) 2021 dia mengambil sedikit masa sebelum menyatakan persetujuan.

“Banyak faktor yang saya fikirkan sebelum menyertai MLM 2021 ini. Tidak pernah dibuat orang masuk pertandingan pada minggu ketiga.

“Namun selepas pihak produksi menjelaskan mengenai pengunduran diri salah seorang anggota Tobat, saya bersetuju.

“Apatah lagi saya pernah satu kumpulan dengan Ropie dalam kumpulan Rare dalam MLM 2019 dan Bell pula adalah senior dalam arena lawak, saya sahut cabaran untuk bertanding.

"Di kesempatan ini saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Bell dan Ropie, dua pelawak senior yang saya hormati kerana kepercayaan yang diberikan ini,” katanya.

Ditanya mengenai harapan tinggi peminat selepas dia menyertai Tobat, Ajak tidak bersetuju dengan kenyataan tersebut.

“Di MLM 2021, kita bekerja secara berkumpulan. Tidak ada istilah selepas saya masuk, persembahan Tobat akan lebih baik atau sebaliknya.

“Saya mengikuti MLM 2021 sejak minggu pertama dan melihat persembahan semua kumpulan termasuk Tobat.

“Masing-masing mempunyai kekuatan tersendiri. Begitu juga Tobat, tidak adil untuk mengatakan selepas kehadiran saya persembahan mereka akan jadi lebih baik.

“Namun apa yang boleh saya janjikan ialah, akan memberikan sehabis baik bersama Tobat dan berharap agar content kami dapat menambat hati penonton dan juri,” katanya positif.

Minggu lalu, Ajak muncul bersama kumpulan Tobat dan penyertaan rasminya pada musim ini turut diumumkan hos, Datuk AC Mizal.

Kumpulan Tobat pada minggu ketiga bertemakan Entiti Props memberikan saingan sengit dan berada di tempat ketiga dengan markah sebanyak 62.9%.

MLM 2021 dibawakan secara langsung setiap Jumaat, 9 malam ditayangkan eksklusif di Astro Warna (saluran 107) dan untuk pilihan lebih fleksibel, ia boleh distrim melalui platform Astro GO dan On Demand.

Pada musim ini, penyampai radio SINAR, Dina Nadzir bertindak sebagai pengacara “Backstage MLM 2021”, edisi sisipan di belakang pentas atau di sebalik tabir MLM 2021.

Manakala penyampai radio GEGAR, Issey Fazlisham dan penyanyi baharu kacukan Malaysia-Filipina, Yazmin Aziz memegang peranan sebagai pengacara program Live Plus (Live +).

#Ajak #maharaja lawak mega 2021 #MLM2021 #Kumpulan Tobat