Mega Spontan
"Saya Nak Tanya Dia Sendiri Kenapa..." - Masih Trauma! Kamal Adli Hanya Akan Ke Singapura Jika...
Pelakon Kamal Adli tidak menafikan sehingga kini masih trauma untuk menjejakkan kaki ke Singapura.
Bagaimanapun Kamal, 37, memberitahu dirinya bersedia seandainya dipanggil semula ke negara terbabit untuk memberikan keterangan terhadap kes serangannya baru-baru ini.
Jelas Kamal, dia masih ingin mengetahui punca serangan yang mencederakannya hingga meninggalkan kesan trauma sampai sekarang.
“Kalau diberi pilihan saya memang tak mahu pergi ke sana buat sementara ini kerana masih trauma.
“Tapi kalau diperlukan saya akan beri kerjasama. Sebagai mangsa saya memang mahu pelaku itu diadili dengan hukuman setimpal.
“Saya pun nak tanya pada dia kenapa menyerang saya. Saya difahamkan individu terbabit dihantar oleh seseorang yang mempunyai masalah peribadi dengan saya,” katanya.
Kamal berkata kepada Astro Gempak pada pelancaran program terbitan Astro, Mega Spontan 2023 di sebuah hotel di Kuala Lumpur hari ini.
Kenyataan Uqasha di TikTok
Mengulas berhubung tindakan isterinya, Uqasha Senrose yang mengeluarkan pelbagai kenyataan di TikTok, Kamal berkata, perkara itu di luar kawalan.Kata aktor drama pooular Setelah Terlafaznya Akad itu, pelbagai maklumat mengenai pelaku diterima hingga mencetuskan panik.
“Saya tak salahkan Uqasha kerana mendedahkan pelbagai perkara dalam media sosial kerana ketika itu dia tak tahu apa yang perlu dibuat,” katanya.
Tak perlukan pengawal peribadi
Dalam pada itu, Kamal memberitahu buat masa ini dia tidak memerlukan pengawal peribadi kerana sentiasa diiringi sama ada rakan atau kenalan untuk pergi ke mana-mana.“Saya yakin jika di negara ini tak perlu risau sampai perlu pasang pengawal peribadi tapi saya sentiasa berteman dan tak keseorangan.
“Singapura pun tak bahaya sebab sebelum saya sering ke sana tak ada masalah. Yang ini saya dah banyak kali cakap.
“Cuma saya nak ingatkan kawan-kawan artis lain agar berhati-hati terutama yang sedang popular,” katanya.
Terdahulu, pada 12 Mac kira-kira 9.19 malam, polis Singapura dimaklumkan mengenai suspek didakwa menyerang pelakon berusia 36 tahun itu dengan baton di 1 Expo Drive di sini. Baton itu dirampas oleh polis sebagai barang bukti kes.
Pemuda berusia 33 tahun itu dikenakan dakwaan di Mahkamah Negeri Singapura pada 14 Mac lalu kerana disyaki terbabit dalam kes menyebabkan kecederaan menggunakan senjata berbahaya.
Jika sabit kesalahan terhadap pertuduhan mendatangkan kecederaan secara sukarela dengan senjata berbahaya mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan, lelaki itu boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun, denda, rotan atau mana-mana gabungan hukuman itu.
Kamal yang cedera terpaksa menjalani pembedahan di sebuah hospital di Singapura.
Must-Watch Video