Hiburan
4 Bulan Isteri Tak Balik Rumah, Ippo Hafiz Fail Tuntutan Nusyuz - “Sebagai Seorang Suami Memang Saya…”
Tidak menyangka Ramadan kali ini mencabar buatnya, penyanyi dan komposer Ippo Hafiz akur apabila rumah tangga yang dibina sejak 2019 bakal berakhir dengan perceraian.
BERITA TRENDING: Ippo Hafiz Lahir Rasa Syukur Isteri Kini Bertudung - “Isteri Saya Bertudung Atas Kerelaannya Sendiri”
“Siapa yang nak diuji begini? Kalau tanya saya, saya pun tidak sangka, kami akan pergi sejauh ini. Sebagai seorang suami memang saya tak sangka saya akan lalui semua ini,” katanya.
Ippo ditemui di Mahkamah Rendah Syariah, Ampang, Kuala Lumpur pada pagi tadi untuk prosiding sebutan pertama permohonan tuntutan nusyuz yang dibuatnya terhadap isterinya yang tidak pulang ke rumah sejak November tahun lalu.
Enggan berkongsi masalah rumah tangga di laman sosialnya demi menjaga aib dan kehormatan keluarganya, Ippo juga berharap agar doanya didengari pada Ramadan ini.
Dalam pada itu, Ippo berkata, anak bongsunya kini berada di bawah jagaannya manakala yang anak pertama bersama isterinya, Fara Roslan.
“Anak kedua saya, Ibrahim bersama dengan saya dan anak sulung dengan dia. Jadi Ramadan saya bersama Ibrahim saja.
“Tak boleh nak cakap perasaan ini macam mana, saya hanya boleh cakap, saya sayangkan keluarga saya,” katanya.
Sementara itu, Ippo turut memohon orang ramai boleh mendoakan yang terbaik buat dirinya sempena bulan baik ini.
“Saya mohon agar semuanya dipermudahkan dan akan berjalan dengan lancar. Saya memang tak boleh berkongsi apa yang berlaku kerana ini membabitkan nama baik keluarga,” katanya.
Untuk rekodm, Ippo mendirikan rumah tangga dengan Fara pada 24 Ogos 2019 dan dikurniakan dua cahaya mata lelaki.
Sumber - BH Online