Nusantara
Achey Ada 28 Buah Motosikal Gara-Gara Orang Cagar Pinjam Duit - "Rata-Rata Tak Ambil Balik"
Pelawak Achey mengakui dia mempunyai banyak koleksi motosikal pelbagai jenis berikutan minatnya dalam dunia permotoran.
Menurut Achey atau nama sebenarnya, Mohd Nasir Hamzah, 34, sehingga kini dia masih memiliki sebanyak 28 buah motosikal dalam simpanannya biarpun sebahagiannya sudah dijual.
Begitupun, jelasnya, kebanyakkan motosikal yang dimilikinya itu merupakan barang cagaran individu yang membuat pinjaman wang daripadanya.
"Punca motor saya jadi banyak sebab orang datang kepada saya kata 'Achey nak pakai RM500, tapi aku tak ada benda nak ganti, aku ada motor'. Tengok-tengok motor yang nak dijadikan cagaran pun duduk belakang reban.
"Bila dah senang, kata nak ambil balik, tapi rata-ratanya tak ambil balik pun, pening juga saya.
"Kita tengok motosikal itu pun rare, jadi ambil dan baiki, itu yang jadi banyak," katanya kepada Astro Gempak.
Menurutnya, sebahagian daripada koleksi motosikalnya juga sudah dijual untuk dijadikan modal ketika ingin membeli rumah.
Disebabkan jumlah yang banyak, kata Achey dia juga terpaksa menyimpan motosikal tersebut di beberapa tempat berasingan.
"Di kampung simpan sikit, sana sikit, sini sikit. Banyak tempat.
"Contohnya motosikal jenama Modenas Kriss ada empat buah, SYM ada tiga buah. Satu jenis ada banyak yang sama," katanya.
Menurut Achey, sebahagian koleksinya itu juga ada yang dibeli, namun dia bukanlah peminat motosikal berkuasa besar.
"Saya lebih kepada motosikal untuk sukan motocross," katanya.
Sebelum ini, Achey memang dikenali dengan aktiviti sukan permotoran sehingga pernah menerima anugerah Ikon Permotoran Viral.