Hiburan
"Ada Yang Tak Nak Ambil Saya Berlakon Kerana Rupa Paras Saya" - Jay Iswazir
Pelakon Jay Iswazir mendedahkan dirinya pernah dipandang rendah kerana rupa parasnya.
Tidak pernah berputus asa, akhirnya Jay atau nama sebenarnya Ahmad Iswazir Ismail merangkul trofi Pelakon Lelaki Terbaik Drama di Anugerah Skrin 2018 baru-baru ini menerusi telefilem Aku Nazmi.
"Saya bermula dengan pelakon tambahan. Tapi ketika itu pun, orang tak pandang saya kerana wajah saya. Ada yang tak nak ambil saya berlakon kerana rupa paras saya.
"Saya tak pernah mendapat sokongan kerana wajah saya. Sampai sekarang saya rasa tak yakin kerana memikul rasa rendah diri terlalu lama, semuanya kerana wajah saya.
"Saya juga rasa malu dengan Tuhan kerana sebelum ini, saya pernah beberapa kali mengeluh apabila menghadapi pelbagai cabaran tetapi akhirnya, saya dapat menggenggam trofi ini. Alkhamdulillah, Tuhan itu maha adil," katanya
Jay berjaya menewaskan Eman Manan (Kasih Seorang Ayah), Jalil Hamid (Cucu Atuk), Redza Rosli (Fatonah Azali) dan Datuk Rosyam Nor (Pendosa Ingin Ke Syurga).
Jay juga ingin mengucapkan terima kasih kepada pelakon Azhan Rani kerana memperkenalkannya kepada produksi JS Picture.
"Azhan percaya dengan kebolehan saya dan berani memperkenalkan saya kepada Sheila Rusly dan Azman Yahaya untuk menjayakan watak Nazmi. Saya rasa sangat terharu dan berterima kasih.
"Saya juga ingin merakamkan penghargaan kepada Sheila, Azman, seluruh warga kerja JS Pictures seerta rakan pelakon seperti Ayda Jebat, Dayana Roza, Nor Albaniah dan semua yang terlibat," katanya lagi.
Dalam perkembangan lain, filem lakonan Jay, Polis Evo 2 bakal menemui penonton pada 22 November ini.
Polis Evo 2 turut membariskan ramai pelakon lain seperti Shaheizy Sam, Zizan Razak, Raline Shah, Erra Fazira dan ramai lagi.
Foto: Instagram Drama Sangat, TV3