Hiburan
“Adik, Kamu Masih Muda Baru Belasan Tahun” - Neelofa Maafkan Penyebar Fitnah
Pengacara popular Neelofa memaafkan individu yang menyebar fitnah mengenai dirinya dan pendakwah bebas PU Riz di Twitter baru-baru ini.
Menerusi ruangan Instagram Stories, Neelofa memuat naik tangkap layar permohonan maaf individu yang dikenali sebagai Syamira Safiya itu berserta kapsyen ringkas.
"Saya maafkan seikhlas hati, semoga Allah menjagamu.
"Adik, kamu masih muda baru belasan tahun. Jauh lagi perjalanan. Apa yang lepas memang sangat pahit untuk dihadapi tapi ada banyak hikmah yang tersirat," pesan Neelofa.
Terdahulu Syamira berkongsi situasi hubungan antara Neelofa dan PU Riz menerusi tangkap layar mesej perbualan di aplikasi WhatsApp.
Dalam kenyataannya di media sosial, Syamira memberitahu Neelofa dan PU Riz telah berkahwin di Kelantan dan pengacara itu pernah memindahkan sejumlah wang yang banyak ke dalam akaun PU Riz.
Neelofa kemudiannya tampil menafikan dakwaan tersebut menerusi hantaran video di IGTV.
Syamira tampil membuat permohonan maaf menerusi Twitter dan menjelaskan dia tidak berniat jahat terhadap pasangan itu.