Hiburan
Aina Abdul Pilih Berkarya Ikut Jiwa, Bukan Paksaan Trend Semasa - “ Saya Tak Boleh Nyanyi Genre Lain Hanya Untuk…”
Menjengah ke sosial media, nama penyanyi Aina Abdul sering menjadi buah mulut warganet yang sering bercakap mengenai fesyen itu.
Malah, lagu-lagu ciptaanya juga sering mendapat kritikan kerana bagi netizen lagu yang dinyanyikan dianggap sama dan tiada perubahan.
Tidak melatah dengan komen tersebut namun Aina menegaskan dia tidak boleh menyanyikan lagu genre lain semata-mata hanya untuk memuaskan hati seseorang.
Menurut pelantun lagu Puas Sudah itu, seiringan dengan masa dia akan cuba untuk membawakan genre yang berbeza namun tidak mungkin akan meninggalkan genre balada yang menjadi kekuatannya.
“Saya tak boleh hentikan apa yang orang nak cakap.
“Tapi saya adalah penyanyi balada, disitulah saya bermula dan itu adalah kemahiran saya dan saya akan teruskan apa yang saya mahir.
“Seiringan dengan masa saya akan asah bakat saya untuk pergi ke genre lain, tapi saya tak boleh paksa diri saya untuk mengembirakan orang lain, saya tak boleh nyanyi genre lain hanya untuk buat mereka gembira,” tegas Aina Abdul.
ARTIKEL BERKAITAN: Lebar Sayap Ke Indonesia, Aina Abdul Tidak Mengalah
ARTIKEL BERKAITAN: Hadapi Kesukaran Anjurkan Konsert Jelajah, Aina Abdul Tidak Mengalah - "Bukan Nak Cakap Saya Tidak Bernasib Baik Tapi..."
ARTIKEL BERKAITAN: Aina Abdul Lengkapkan IMAJI dengan Versi Deluxe, Tambah Tiga Lagu Baru
Aina atau nama sebenarnya, Nurul Aina Abdul Ghani,31, juga berkata dia tidak boleh menipu dirinya sendiri hanya untuk mengikut trend semasa.
Menurutnya, jika lagu yang diciptanya itu dapat menarik hati pendengar itu sudah cukup memadai.
“Saya kena release lagu yang kena dengan air lagu badan saya, kena faham jiwa saya dan saya tak boleh tipu diri saya hanya untuk mengikut trend semasa.
“Bagi saya, selagi lagu itu dekat dengan hati peminat dan pendengar itu sudah cukup memadai.
“Lagu itu akan bicara sendiri tidak kisah cepat atau lambat, saya disini bukan untuk mengikut trend.
“Saya berada dalam industri selama ini bukan kerana saya ikut trend namun kerja keras orang sekeliling saya yang sentiasa mendorong saya untuk ke hadapan serta lagu yang kena bagi mereka yang mendengar.
“Saya akan sentiasa membuat lagu yang ada kena mengena dengan mereka namun bukan mengikut genre. Kalau saya dah mula pergi ke genre lain itu bermakna Allah dah bagi wahyu dekat saya untuk buat genre macam tu,” ujarnya kepada Gempak.