Laman Utama
Aliff Syukri Merungut Harga Barang Mahal Di Mekah, Netizen: “Kat Kedai LV Tak Pernah Complain Macam Ni”
Usahawan Datuk Seri Aliff Syukri mendakwa perlu mengeluarkan belanja lebih ketika berada di Azaziyah memandangkan barangan di sana dijual pada harga yang agak mahal.
Menerusi kemas kini di Instagram, Aliff berkata, ditambah dengan Ringgit Malaysia yang semakin melemah, kadar pertukaran wang dan perbelanjaan di sana dilihat sangat tinggi.
“Di sini barang hampir semua mahal dari biasa. Dulu saya bawa duit poket RM1,000 terasa besar, boleh beli macam-macam. Sekarang macam RM150 sahaja disebabkan mata wang kita amat lemah nak beli apa pun terasa.
“Paling terasa beli barang runcit di sini terutamanya barangan basah seperti ikan, tepung dan juga biskut. Harga tak masuk akal, saya pula jenis Melayu tak nak makan makanan Arab kenalah masak sendiri. Banyak peniaga-peniaga di sini menaikkan harga 3 hingga 5 kali ganda,” katanya.
Aliff memberitahu, tambang menaiki teksi juga agak mahal, sungguhpun jarak perjalanan hanyalah sekitar lima kilometer sahaja.
“Contoh harga naik teksi biasanya hanya perlu 10 Riyal (RM12.44) sahaja. Di musim haji mereka kenakan sehingga 200 Riyal (RM248), mahal sangat. Pada hal perjalanan kami tidak lebih daripada lima kilometer.
“Bayangkan mereka kenakan setiap kepala ya bukan sekali naik teksi. Jadi kami kena bayar 1000 Riyal, duit malaysia RM1300. Tidak dapat saya bayangkan jemaah yang tidak ada bawa duit ekstra hanya mengharapkan 100 peratus daripada agensi sahaja.. kena ikat perut lah di sini,” katanya lagi.
Bagaimanapun, menerusi ruangan komen, ramai pengguna membidas kenyataan Aliff memandangkan usahawan tersebut kerap berbelanja mewah ketika berada di tanah air sendiri.
“Datuk ni banyak cakap pasal harga mahal kat Mekah. Tapi kat kedai LV tak pernah complain macam ni,” kata netizen berkenaan.
Namun, ramai antara pengikut Aliff menjawab semula pertanyaan tersebut dengan menyatakan tujuan dia berbuat demikian adalah untuk mewakili jemaah haji lain yang tidak banyak membawa wang ketika berada di sana.