Viral
Aliff Syukri Mohon Maaf, Padam Teaser MV Lagu Raya Menggeletis - "Dah Buat Susah-Susah, Kena Kecam"
Dikritik kerana berkongsi sedutan lagu raya dengan beberapa penari yang mengenakan kostum aneh, usahawan sensasi, Datuk Seri Aliff Syukri sekali lagi memuat naik hantaran di Instagram memohon maaf kepada ibunya dan orang ramai.
Akui Diri Terkesan
Menerusi klip video pendek yang dikongsi, Aliff mengakui dirinya terkesan dengan komen-komen negatif dari netizen serta mengambil inisiatif memadam entri tersebut daripada akaun Instagramnya.
"Kepada mak saya, kepada semua masyarakat, netizen-netizen yang menonton video saya tu, saya minta maaf daripada hujung rambut sampai hujung kaki.
"Memang saya kecil hati, saya dah buat susah-susah saya dah bayar puluhan ribu penari apa semua. Tapi mereka tak tengok pun lagi video klip tu dah kecam melampau dan menyebabkan saya down," katanya.
Tak Salahkan Sesiapa
Dalam pada itu, Aliff memberitahu bahawa segala yang berlaku adalah atas kesalahan diri sendiri dan tidak mahu menyalahkan mana-mana pihak berikutan tindakan yang dilakukannya.
"Saya tak nak bersedih, tak nak marah sesiapa, saya salahkan diri saya sendiri. Saya dah padam video tu, padahal banyak je lagi orang buat video pelik-pelik tapi tak jadi isu," luahnya.
Terdahulu, Aliff Syukri mengumumkan bakal mengeluarkan lagu raya berjudul Love Raya yang didakwa atas permintaan ramai.
Bagaimanapun, perkara itu dikecam netizen kerana konten yang dikongsi oleh Aliff berkaitan lagu raya tersebut dianggap tidak menghormati kemuliaan bulan Ramadan.