Hiburan
Ammar Alfian Hampir Menjadi Tebusan Lanun
Pelakon Ammar Alfian menceritakan peristiwa dirinya hampir ditangkap lanun sehari sebelum menjalani penggambaran filem Paskal.
Menurut Ammar, 31, kejadian itu berlaku ketika dia dan Hairul Azreen berada ke lokasi penggambaran di Semporna, Sabah.
"Pada malam itu, kami dimaklumkan ada lanun yang ingin datang ke pelantar minyak kerana mereka tahu ada pelakon-pelakon di situ.
"Lanun tersebut hanya ada di sana pada waktu sebelah pagi dan malam untuk menangkap kami bagi dijadikan tebusan.
"Pihak Tentera Laut dan Pasukan Khas Laut (Paskal) masing masing memberi peringatan kepada pihak produksi supaya lebih berhati-hati dan berwaspada," katanya kepada Gempak.
Ammar atau nama sebenarnya Ammar Alfian Aziz Mohd Zakri melahirkan rasa syukur kerana tiada perkara yang tak diingini berlaku.
Ammar ditemui di majlis sidang media filem Paskal di GSC Signatures The Garden, Kuala Lumpur sebentar tadi.
Filem Paskal arahan Adrian Teh akan mengetengahkan pembabitan Paskal dalam misi merampas kapal dagang MT Bunga Laurel dari lanun Somalia di Teluk Aden pada 2011.
Selain Ammar, filem Paskal dibintangi oleh Hairul Azreen, Gambit Saifullah, Hafizul Kamal, Taufiq Hanafi, Jasmine Suraya Chin dan ramai lagi.
Filem Paskal bakal ditayangkan pada 27 September ini di pawagam yang berdekatan.