Hiburan
Amyza Aznan Fail Permohonan Mengetepikan Penghakiman Ingkar Daripada Zarina Anjoulie
Peguam Rejinder Singh yang bertindak bagi pihak pelakon Amyza Aznan memaklumkan kepada mahkamah, anak guamnya akan memfailkan permohonan bagi mengetepikan penghakiman ingkar yang dipohon Zarina Anjoulie pada Isnin ini.
Rejinder Singh berkata pihaknya juga memohon kepada mahkamah untuk penggantungan prosiding kes saman sehingga pelupusan permohonan penghakiman ingkar didengar di mahkamah.
Terdahulu, Rejinder berkata, anak guamnya telah memasukkan kehadiran untuk menjawab saman difailkan Zarina Anjoulie pada 1 Julai lalu, selepas dimaklumkan oleh peguam plaintif.
"Defendan tidak pernah menerima apa jua writ saman dan penyataan tuntutan kerana ia diserahkan di alamat yang beliau (defendan) tidak tinggal.
"Anak guam saya hanya menyedari ada satu permohonan ingkar kehadiran yang dibuat oleh plaintif selepas dimaklumkan oleh rakan media lain yang memintanya untuk memberi komen mengenai perkara itu pada 25 Jun lalu," kata peguam itu.
Semalam (Jumaat), Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah membenarkan permohonan pelakon dan model, Zarina Anjoulie Mohamad Fahizul untuk mendapatkan penghakiman ingkar terhadap rakan seperjuangannya, Amyza Aznan dalam kes saman fitnah bagi menuntut ganti rugi berjumlah RM3 juta.
Hakim Datuk Azimah Omar membenarkan permohonan Zarina Anjoulie selaku plaintif berikutan Amyza atau nama sebenarnya Azizah @ Amyza Aznan sebagai defendan gagal memfailkan memorandum kehadiran untuk menjawab saman itu pada tarikh yang ditetapkan.
"Saman yang difailkan plaintif adalah mengikut prosedur dan teratur, namun defendan telah memasukkan kehadiran untuk menjawab saman itu lewat," kata hakim itu.
Mahkamah juga memerintahkan Amyza membayar kos RM2,500.
Pada 23 April lalu, Zarina Anjoulie, 34, memfailkan saman terhadap Amyza dan mendakwa selepas pengumuman kerajaan berhubung Bantuan Prihatin Nasional (BPN) kepada rakyat dalam golongan B40 dan M40 yang berpendapatan sebulan RM8,000 ke bawah, sebahagian daripada golongan artis tempatan turut menyuarakan pendapat mereka, dan menyatakan bahawa pihak kerajaan perlu memberikan satu 'bantuan khusus' bagi mereka atau penggiat seni negara.
Sumber: BERNAMA
Artikel berkaitan:
- “Amyza Aznan Tidak Hadir Ke Mahkamah Menjawab Saman, Menyebabkan Proses Tuntutan Saman Tertangguh” – Peguam Zarina Anjoulie
- "Saya Bersedia Terima Dokumen Dari Peguam Yang Mewakili Zarina AnJoulie" - Amyza Aznan
- Jatuhkan Reputasi, Zarina Anjoulie Tuntut Permohonan Maaf & Pampasan Sehingga RM4 Juta Terhadap 2 Pelakon Ini!