Hiburan

Anak Noralbaniah Sudah Bebas, Mahu Teruskan Hidup Dengan Perkara Positif - “Bagi Dia Belajar Dari Kesilapan Yang Dia Buat”

Asyikin Mayudin
22/04/2024
11:55 MYT
Sponsor Banner
Anak Noralbaniah Sudah Bebas, Mahu Teruskan Hidup Dengan Perkara Positif - “Bagi Dia Belajar Dari Kesilapan Yang Dia Buat”
Pelakon Noralbaniah enggan lagi mengungkit kisah yang menimpa anaknya iaitu Syarra Sudarman yang terbabit dengan penyalahgunaan dadah dan sudah dibebaskan sejak tahun lalu.

Mahu Teruskan Hidup Dengan Benda Baik

Noralbaniah berkata dia mahu meneruskan kehidupan dengan perkara positif dan sama juga dengan anaknya yang kini sedang baik-baik saja.
“Bulan lima tahun lalu dia sudah keluar, perkara itu sudah lama berlaku jadi tiada apa yang terbaharu untuk dikongsikan. Sudah-sudahlah.
“Alhamdulillah kehidupan juga berjalan seperti biasa dan dia (Syarra) pun okay. Dia pun hidup sendiri sekarang tapi kami ada berjumpa,” katanya kepada Gempak.
Noralbaniah ditemui di majlis tayangan perdana filem arahan Datuk Awie iaitu Rebel: Berontak Untuk Berotak di TGV The Starling Mall, Petaling Jaya baru-baru ini.

Pengajaran Untuk Anak

Noralbaniah turut menganggap apa yang berlaku itu merupakan pengajaran buat anaknya.
“Bagi dia belajarlah dari kesilapan yang dia buat. Masa kecil dulu kita bela tapi sudah besar, sama seperti saya, kita tak tahu apa yang akan terjadi pada esok walaupun esok pilihan di tangan kita tapi kadang-kadang kita tersasar.
“Bila kita kejar bas pun kadang-kadang boleh tertinggal. Jadi saya tak mahu cakap apa-apa sebab nanti terkena balik. Saya terima, lagipun ini tahun lepas punya cerita. Saya reda.
“Itu sajalah saya boleh kongsi, ia pun sudah berakhir, alhamdulillah syukur,” katanya.
Terdahulu, pada Januari tahun lalu, media ada melaporkan Syarra Sudarman mengaku bersalah atas dua pertuduhan berkaitan dadah dan dikenakan hukuman penjara 13 bulan oleh Mahkamah Majistret Kuala Pilah, Negeri Sembilan.
Majistret Saiful Sayoti turut mengarahkan tertuduh menjalani tempoh pengawasan selama tiga tahun.
Bagi pertuduhan pertama, Syarra didapati memiliki dua paket plastik lutsinar mengandungi dadah jenis syabu seberat 1.72 gram di sebuah hotel di Kuala Pilah pada pukul 11.45 pagi, 12 Oktober tahun lalu. Atas kesalahan tersebut dia dikenakan hukuman penjara lapan bulan bermula tarikh ditahan.
Pertuduhan kedua pula dia didakwa mengikut Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memberikan dadah jenis amphetamine dan methamphetamine kepada diri sendiri di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Pilah pada pukul 3 petang, tarikh sama.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara selama lima bulan bagi kesalahan berkenaan.
Syarra adalah anak kepada Noralbaniah hasil perkongsian hidup dengan bekas pelumba kereta iaitu Allahyarham Sudarman Daud.
Sudarman meninggal dunia pada 10 Jun 1996 akibat kemalangan jalan raya.

BERITA TRENDING: "Saya Bukan Cleaner" - Noralbaniah

BERITA TRENDING: Anak Terlibat Dadah, Noralbaniah; "Janganlah Kata Saya Salah Didik Anak"

Related Topics
Must-Watch Video
Unitar