Laman Utama

Anggap Tiada Jodoh, SoneOne Mahu Move On! Semuanya Diceritakan Dalam Lagu Terbaru?

Asraf Aided
14/11/2021
07:12 MYT
Sponsor Banner
Anggap Tiada Jodoh, SoneOne Mahu Move On! Semuanya Diceritakan Dalam Lagu Terbaru?
Mengharungi sendiri jatuh bangun dalam kehidupan selain mengamati pengalaman sama orang lain menjentik rasa dan emosi tersendiri buat penyanyi hip hop dan komposer, SonaOne, 32.
Lalu terhasillah buah tangan terbaharu jejaka kacukan Melayu-Perancis dengan nama penuh, Mikael Adam Mohd Rafee Michel Lozach ini. Tidak bersendirian, lagu diberi judul SAPE KATA itu turut dihasilkan bersama dengan Wolfy.
Dicetuskan ketika era pandemik COVID-19, lagu yang liriknya ditulis SonaOne sendiri bersama Axel Jonas itu dirakamkan sekitar Julai tahun lalu.
Ditanya apakah idea penghasilan karya berkenaan lebih tepat mengenai pengalaman kisah cinta sendiri, SonaOne yang mula melangkah ke arena seni pada 2010 dilihat memberi jawapan selamat.
"Jawapan kepada soalan apakah ia cetusan ilham kisah cinta sendiri, boleh jadi ya... atau sebaliknya. Ia terpulang kepada apa juga interpretasi atau tafsiran masing masing. Namun ia jelas bersifat peribadi.
"Tapi tak dinafikan ada input dan ilham itu datang daripada pengalaman sendiri. Namun saya melihat lagu ini daripada cerita umum atau adat berkasih sayang yang akan berlaku salah faham dan jiwa kacau.
"Ia juga berdasarkan pengamatan saya mengenai pelbagai cerita dialami ketika COVID-19 menjelma. Ramai teman saya sendiri putus cinta daripada hubungan yang panjang kerana kekurangan sisi komunikasi," katanya yang kali terakhir muncul dengan single solo Bomba tahun lalu.
Lagu gabungan pop R&B dan hip hop ini dilancarkan di semua platform digital pada 12 November, dua hari lalu. Malah jika ada mengikuti perkembangan SonaOne di media sosial, teaser lagu itu ada dipromosi di akaun Instagram, Twitter dan halaman Facebook (Fanpage) Oktober lalu.
"Lagu ini banyak bermain dengan perasaan dalaman ditambah dengan emosi bercelaru. Malah memang sengaja perkataan siapa dieja seperti bahasa pasar sebagai 'sape'.
"Lagu ini menggunakan bahasa Malaysia dan Inggeris. Pendek kata lagu ini barangkali dekat dengan sesiapa saja yang pernah melalui plot hubungan penuh dramatik," katanya.
Menutup bicara, jejaka yang pernah tampil dengan dua album studio, Growing Up Sucks pada 2016 dan Detail (2019) ini juga sempat diusik dengan kisah cintanya yang pernah digembar gemburkan sebelum ini.
Biarpun tidak pernah mendedahkan kisah cintanya secara terbuka, namun ada yang menghidunya. Malah, dia pernah mengeluarkan kenyataan akan mengumumkan perancangan berkahwin dengan gadis yang masih rahsia lagi identitinya.
Bagaimanapun cerita itu bagai berlalu sepi, hingga ada yang mengandaikan ia sudah bernoktah.
"Saya mahu 'move on'. Saya anggap tak ada jodoh dengannya. Tak semua yang kita dambakan akan berakhir seperti sebuah kisah dongeng," katanya lagi.
***Untuk kemaskini berita terkini, cepat & mudah, langgan saluran Telegram Gempak! Dah mengundi artis kegemaran korang di AME 2021? Klik banner di bawah untuk mengundi!
Related Topics
Must-Watch Video
Unitar