BERITA
Angkat Kisah Penuh Inspirasi, ‘My Story’ Wajib Ditonton Semperna Hari Kemerdekaan Ini
Bersempena dengan sambutan Hari Kemerdekaan yang ke-61 yang bakal diraikan esok, Astro Ceria meraikan hari yang penuh bersejarah negara dengan membawakan 10 kisah patriotik istimewa dalam versi video berdurasi pendek iaitu ‘My Story’.
‘My Story’ mengisahkan tentang sejarah patriotik dengan menyingkap kisah-kisah rakyat biasa yang turut menyumbang dalam pembangunan negara Malaysia dengan cara mereka tersendiri.
Kisah-kisah yang dipaparkan dalam 'My Stroy' diharapkan dapat memberi inspirasi kepada setiap anak Malaysia untuk terus berbakti pada tanah air, mengikut kepada kemampuan masing-masing.
Berikut merupakan kisah-kisah yang akan disiarkan dalam 'My Story':
Kisah 1: A.Chandramalar, ‘Si Wanita Besi’
Selepas mencapai kemerdekaan, Malaya mengalami peningkatan kadar jenayah terutamanya sekitar tahun 1970an. Chandramalar merupakan inspektor polis wanita pertama yang mengetuai Anti-Vice Branch di Pulau Pinang dan beliau memimpin sepasukan 13 anggota polis lelaki dalam melakukan serbuan secara purata ke 15 buah rumah pelacuran dan pusat perjudian setiap hari demi menyelamatkan kanak-kanak perempuan bawah umur daripada sindiket pelacuran dan sendiket dadah. Meskipun digelar Wanita Besi, beliau mempunyai hati yang lembut apabila beliau sentiasa memberi peluang kedua kepada pesalah remaja dan menawarkan peluang pekerjaan kepada penjenayah yang telah menjalani hukuman penjara mereka.
Kisah 2: Peter Khang, ‘Pereka Visual Setem Malaysia’
Sebelum 31 Ogos 1957, Pos Malaysia telah mengeluarkan satu siri setem di peringkat negeri yang menggambarkan keunikan setiap negeri untuk menanam sifat perpaduan dalam kalangan rakyat. Sejak itu, Pos Malaysia telah menggunakan khidmat pereka tempatan untuk mereka setem yang melambangkan budaya, landskap serta keindahan Malaysia. Peter Khang merupakan salah seorang pereka yang ditugaskan untuk mereka visual setem Malaysia tahun demi tahun.
Kisah 3: Kemajuan Pengangkutan Malaysia
Josy Nicolas, anak kelahiran Sarawak yang kini berusia 88 tahun berkahwin dengan seorang jejaka Melayu dari Selangor pada tahun 1950-an. Beliau menceritakan perjalanan panjang yang ditempuhi bersama anak-anaknya untuk pulang melawat keluarga mertua di Selangor. Perjalanan bermula dengan menaiki kapal wap dari Borneo Utara ke Singapura yang mengambil masa beberapa hari. Setibanya di Singapura, mereka menaiki kereta api pula untuk ke Kuala Lumpur.
Kisah 4: The Flying Singh
Semuanya bermula apabila doktor mengesahkan bahawa Gurbaksh Singh Kler mengalami masalah jantung dah menasihatinya untuk berjalan kaki sejauh tiga batu sehari. Bermula daripada situ, Gurkbash menjadikan larian sebagai rutin dalam kehidupan beliau sehinggalah beliau menjadi seorang jurulatih sukan. Minatnya yang mendalam dalam bidang sukan turut mempengaruhi anak-anaknya apabila anak sulungnya, Dilbagh Singh Kler merupakan seorang atlet Olimpik dan pemecah rekod sehingga digelar ‘The Flying Sikh’.
Kisah 5: Sarjan Mejar Apot Anak Saad, Buktikan Kehebatan Anak Orang Asli
Pada tahun 1968, seorang orang asli berusia 19 tahun telah direkrut menyertai pasukan Senoi Praaq, sebuah unit khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang hanya dianggotai oleh orang asli. Kemahiran orang asli mengenai selok belok di hutan menjadikan mereka aset berharga bagi PDRM. Perisik Amerika (CIA) menggelarkan pasukan ini sebagai ‘silent killer’ kerana mereka memasuki hutan berkaki ayam. Sarjan Major Apot Anak Saad, salah seorang anggota Senai Praaq digelar ‘Big Nose’ kerana kepakaran beliau mengesan jejak manusia di hutan meskipun setelah berminggu lamanya. Komitmen dan kehebatan skill beliau telah membuatkan Malaysia terkenal di mata dunia dalam operasi mencari & menyelamat.
Kisah 6: Ang Chee Cheong Dedah Kisah Di sebalik Reka Bentuk Bangunan Bersejarah Negara
Tunku Abdul Rahman telah memanggil ramai arkitek untuk mereka bangunan yang berbeza dengan fungsinya tersendiri dan setiap rekaan haruslah membawa identiti negara. Ang Chee Cheong, pengarang buku “The Merdeka Interviews” berkongsi hasil wawancara beliau dengan ramai orang yang terlibat dalam perancangan dan pembinaan bangunan bersejarah negara. Beliau turut berkongsi mengenai usaha kolaboratif sekumpulan arkitek, jurutera, kontraktor dan buruh yang dalam merealisasikan visi Tunku.
Kisah 7: Alfonso Soliano, Pemimpin Orkestra Malaysia yang Pertama
Menjelang 31 Ogos 1957, Tunku Abdul Rahman menzahirkan keinginan untuk mewujudkan sebuah Orkestra Kebangsaan untuk memainkan muzik lagu kebangsaan, Negaraku dan lagu-lagu nasional yang lain. Merealisasikan impian tersebut bukanlah sesuatu yang mudah kerana pada zaman tersebut, tidak ramai rakyat yang merupakan pemuzik terlatih. Alfonso Soliano dilantik sebagai konduktor muzik yang membimbing Orkes Radio Malaya. Kisah Alfonso ini diceritakan oleh cucu beliau, Rachel Guerzo, yang kini merupakan seorang pemuzik.
Kisah 8: Profesor Emeritus Zunaida Majid, Wanita di Sebalik Penemuan Perak Man
Profesor Emeritus Zunaida Majid, seorang arkeologi, masih ingat semasa di zaman persekolahan beliau, buku sejarah yang dipelajarinya menceritakan sejarah yang hanya melangkaui abad ke-14. Tidak pernah terlintas difikirannya, suatu hari nanti beliau akan mengubah sejarah dalam catatan buku sejarah Malaysia apabila beliau dan pasukannya berjaya menemui ‘Perak Man’ iaitu rangka manusia paling sempurna pernah ditemui di Asia Tenggara dan tertua di dunia yang mempunyai gangguan genetik. Profesor Zuraina menggambarkan kerjaya beliau umpama merungkai ‘misteri masa’ yang mengubah sejarah Malaysia.
Kisah 9: 13 Mei; ‘Harapan Dalam Kegelapan’
Bagi kebanyakan rakyat Malaysia, rusuhan 13 Mei 1969 meninggalkan noda yang tidak dapat dilupakan dalam lipatan sejarah negara. Selepas Pilihan Raya Umum, ketegangan antara komuniti Melayu dan Cina meletus di bandar Kuala Lumpur. Ho Kay Tat yang kini merupakan seorang penerbit akhbar, hanya berusia 10 tahun semasa rusuhan tersebut berlaku.
Kisah 10: Cikgu Lucy Labang Kembali Berbakti di Tanah Kelahiran
Lucy Labang berasal daripada keluarga petani. Sejak kecil, beliau sedar akan hakikat bahawa pendidikan merupakan senjata paling utama untuk mengubah kehidupan mereka sekeluarga dan juga komuniti sekelilingnya. Oleh itu, beliau berusaha keras dalam pelajarannya sehingga beliau berjaya melanjutkan pelajaran di New Zealand. Kemudian, beliau mengambil keputusan untuk pulang mencurahkan bakti di kampung halamannya, Bario.
‘My Story’ telah mula menemui penonton di kaca televisyen pada 23 Ogos lalu dan akan diteruskan sehingga 16 September menerusi saluran Astro Ceria, Astro Ria, Ria HD, Astro Vaanavil, Astro Xiao Tai Yang.
‘My Story’ juga boleh ditonton di platform digital menerusi aplikasi Astro GO, portal Gempak dan Rojak Daily.
Must-Watch Video