Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!
Laman Utama

Artis Gemar Bertelagah, Zarul Umbrella; "Hidup Tak Lama, Nak Bergaduh Tu Fikirlah Dulu..."

Amri Hassan 03/08/2021 | 02:50 MYT
Penyanyi dan pelakon Zarul Umbrella akui sikapnya yang hanya hidup dalam gelembung sendiri sedikit sebanyak mengelakkannya daripada terjerumus dalam episod perbalahan sesama artis.
Kata Zarul, dia akui tidak pernah mempunyai rakan selebriti yang terlalu rapat justeru tiada sebab baginya untuk bertelagah.
"Saya tiada kawan-kawan rapat dalam kalangan artis sebab hidup saya dalam gelembung saya sendiri. Ketika bertugas sebagai pramugara, kawan-kawan saya adalah rakan sekerja, apabila berlakon, produksi dan kru menjadi kawan saya.
"Kiranya saya 'touch and go' semua orang. Tak ada nak bergaduh dengan siapa-siapa.
"Kita manusia memang akan ada terasa hati tapi buat bodoh sajalah. Kita semua pun dah dewasa, matang dan boleh berfikir dengan bijak. Ada perkara perlu let go, kita let go.
"Sebagai manusia pun akan ada hal-hal kecil kita buat silap dan terlepas pandang. Anggaplah itu sebagai asam garam... Hidup atas dunia ni tak lama pun, saya tak nak berdendam dengan sesiapa. Chill-chill sudah," kata Zarul.
Zarul ditemui pada majlis sidang media maya pelancaran single terbaharunya, Sepenuh Hati pada Isnin.
Tambah Zarul lagi, dia kesal apabila melihat rakan industri saling berbalah antara satu sama lain sekali gus memberikan persepsi tidak molek kepada peminat dan netizen.
"Saya kesal sebenarnya apabila perkara ini berlaku, mungkin ada yang membuat keputusan dalam keadaan marah dan akhirnya akan adalah natijahnya.
"Sebagai artis terutama yang sudah lama dalam industri kalau nak bergaduh tu fikir-fikirlah balik. Industri kita kecil saja, pusing-pusing jumpa balik. Memaafkanlah sesama kita dan hidup aman damai," katanya.
Baru-baru ini, hanya kerana berpunca dari media sosial, beberapa kelompok selebriti tanah air bertelagah hingga sampai ke peringkat saman-menyaman.
Sementara itu, mengulas mengenai single terbaharunya yang telah dilancarkan akhir bulan lalu, Zarul akui gementar namun pada masa sama teruja dengan maklum balas peminatnya.
"Ini impian saya untuk berkerjasama dengan komposer dan penulis lirik hebat yang telah memenangi banyak anugerah sebelum ini, Ajai dan Iman Imran. Ibaratnya bulan jatuh ke riba.
"Lagu ini ada elemen latin terutama dengan petikan gitar. Ajai kemudiannya menjadikan lagu ini sesuai dengan suara dan forte saya.
"Saya gembira dengan kemunculan lagu baru ini dan ada sesuatu untuk saya hadiahkan kepada peminat," katanya.
#pelakon #Penyanyi #Viral #Netizen #Artis #Zarul Husin #Gaduh #PKP #Umbrella
;