Laman Utama
Asaskan HemmaFit Bersama Suami, Ini Tips Makan Di Aidilfitri Sakinah: “Jangan Bergaduh Dengan Diri Sendiri”
Asmara Sharifah Sakinah dan suaminya, Michael Hansen mekar bukan sekadar atas tarikan terkena ‘panahan listrik’, tetapi ia berkembang selepas kecintaan mereka terhadap gaya hidup sihat berjalan seiring.
Sakinah melakukan senaman dan amalan hidup sihat selain sebagai satu rutin, ia adalah escapism buatnya melewati masa sukar berdepan masalah ADHD. Michael atau selesa dipanggil Mike pula selain gaya hidup sihat sudah menjadi sebahagian hidupnya, dia berusaha membantu masyarakat untuk ikut mengamalkan amalan sama.
Maka keduanya bertemu titik persetujuan untuk menggabungkan kecintaan dan keinginan membantu orang lain hidup sihat dengan menubuhkan HemmaFit yang menggunakan tagline Women For Women.
Kata pasangan ini, begini kronologi penubuhan HemmaFit yang semakin memikat hati banyak golongan wanita untuk tampil sihat yang dikongsikan dalam edisi #GTheUntoldStoryPlus.
GEMAPAK: Jadi kenapa HemmaFit?
SAKINAH: Pertamanya kami mahu memberikan kepedulian masyarakat terhadap gaya hidup sihat. Jadi ia bukan ditubuhkan untuk membuat kami kaya, namun lebih kepada inisiatif wanita seperti ibu ibu yang tak ada masa, tak ada duit dan tak ada tempat untuk bersenam melakukan aktiviti senaman.
Mereka boleh melakukan senaman hanya di rumah tanpa perlu mengeluarkan duit banyak iaitu hanya RM100 untuk semua kemudahan, bimbingan bersifat peribadi serta nasihat terapi dan menu makanan.
GEMPAK: Mungkin ada sebab lain?
SAKINAH: Secara jujur kalau tanya, saya sebenarnya kasihan dengan orang yang minum detox atau ambil produk kesihatan tanpa mengenal ilmu untuk menjaga kesihatan dengan betul.
Jadi platform ini diwujudkan untuk memberi ilmu bagaimana cara cara secara natural untuk menjaga kesihatan dengan betul.
Selain itu kami juga mahu ia menjadi platform gaya hidup sihat pertama di Malaysia. Kita lihat banyak platform fesyen misalnya, tapi untuk gaya hidup sihat terutama memfokus dari wanita kepada wanita belum ada. Jadi kami mahu HemmaFit menjadi yang pertama seumpamanya.
GEMPAK: Sejak bila HemmaFit serius dilaksanakan?
MIKE: Platform ini dimulakan sejak pandemik COVID 19 untuk membantu para wanita mendapatkan cara kesihatan yang betul tanpa perlu mengeluarkan duit banyak atau berada di gym. Terutama wanita Islam bertudung, mungkin malas mahu bersiap, jadi masih boleh dan menjalani kehidupan yang sihat dengan hanya melakukan senaman di rumah.
GEMPAK: Kenapa begitu berusaha membantu golongan wanita di Malaysia?
MIKE: Saya melihat kesedaran kesihatan di Malaysia mula berkembang. Saya secara peribadi memang seorang yang suka bersenam dan menjaga kesihatan melalui pemakanan juga.
Jadi awalnya saya menyokong Sakinah sehingga tercetus idea menjadikan aktiviti atau rutin ini kepada satu bisnes yang memberi manfaat kepada wanita. Sekarang kami juga perlahan lahan sedang meluaskan HemmaFit di rantau Asia.
Tujuan utama HemmaFit adalah melakukan senaman di rumah tanpa perlu bergerak atau pergi ke studio. Jadi semua sesi dijalankan secara virtual.
GEMPAK: Kita tahu kalian adalah pasangan yang sangat menjaga kesihatan. Adakah anda dan Sakinah juga sesekali mengamalkan istilah cheat day seperti kebanyakan orang lain?
MIKE: Saya kurang gemar menggunakan istilah Cheat Day kerana pada saya kita semua boleh makan burger, nasi lemak atau roti canai misalnya. Semuanya tak ada salah. Tapi bagaimana kita melimitasi makanan yang diambil. Itu lebih penting. Sebab saya sendiri sangat suka roti canai, tapi tidak boleh mengambilnya terlalu banyak kerana mengandungi mentaga yang sangat tinggi.
GEMPAK: Boleh kongsikan bagaimana perjalanan atau amalan anda terhadap gaya hidup sihat bermula? Adakah mungkin ada peristiwa terjadi dan anda menjadikan senaman sebagai ‘jalan keluar’?
MIKE: Saya memang bersenam sejak kecil dan saya pernah menjadi instrukter. Saya juga selalu work out untuk diri sendiri. Saya percaya, dengan hidup sihat, harapnya dapat menjaga kesihatan mental menjadi baik.
Jadi apapun ia akan memberi fokus secara menyeluruh. Saya tak ada isu dengan kesihatan mental. Tapi saya pernah alami keruntuhan rumah tangga sebelum ini dan banyak mengembara kerana kerja. Jadi bila saya bersenam, ia membuat saya fokus.
GEMPAK: Kita tahu Aidilfitri adalah satu festival yang meriah dengan pelbagai makanan. Kuih muih dan lauk pauk rasa sangat sukar ditolak. Ada tips mengawal makan masa raya?
SAKINAH: Untuk raya jangan bergaduh dengan diri sendiri. Tak payah drama dengan otak. Kalau nak makan, makan, kalau tak nak, jangan makan. Kentalkan diri. Tapi kalau tak boleh tolak, kita alihkan kepada cara memasak yang lebih sihat. Dalam HemmaFit ada semua perkara yang berkaitan dengan kesihatan. Semua komuniti kami saling menyokong.
Senang cakap, nak makan boleh, tapi kena tahu akibatnya dan bagaimana kita mengawalnya selepas itu. Yang penting jangan bergaduh dengan diri sendiri.