Berita

Aset Dibekukan, Vivy Yusof & Suami Mengaku Tidak Bersalah Pecah Amanah Dana Pelaburan PNB, Khazanah Bernilai RM8 Juta

Mya Amri
05/12/2024
02:00 MYT
Sponsor Banner
Aset Dibekukan, Vivy Yusof & Suami Mengaku Tidak Bersalah Pecah Amanah Dana Pelaburan PNB, Khazanah Bernilai RM8 Juta
Pengasas platform e-dagang FashionValet, Datin Vivy Sofinas Yusof dan suaminya, Datuk Fadzarudin Shah mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan Hakim Rosli Ahmad.
Pasangan suami isteri ini didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan pecah amanah dana pelaburan Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Khazanah Nasional Berhad bernilai RM8 juta.
"Faham, tidak bersalah (mengaku tidak salah)," kata kedua-dua tertuduh secara berasingan ketika ditanya jurubahasa selepas pertuduhan dibacakan.
Sebelum Hakim menetapkan jumlah wang jaminan, peguam tertuduh iaitu Ashok Athimulan meminta supaya ia dapat dikurangkan atas beberapa faktor.
“Aset mereka sudah dibekukan. Kini mereka bergantung bantuan kewangan ahli keluarga dan rakan untuk bayar wang jaminan.
“Kekangan ini juga mudarat perbelanjaan harian mereka termasuk empat anaknya. Jumlah (wang jaminan) yang tinggi seolah-olah menghukum mereka. Saya mohon jaminan yang munasabah ditetapkan,” ujarnya.
Setelah itu, Hakim Rosli Ahmad mengarahkan Vivy dan suami untuk membayar wang jaminan sebanyak RM100,000 setiap seorang selain menyerah passport dan lapor diri sebulan sekali di Suruhanjayq Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Rosli turut menetapkan sebutan semula kes tersebut akan disambung pada 22 Januari 2025.
Mengikut pertuduhan, pasangan itu didakwa dengan niat bersama sebagai Pengarah Fashion Valet Sdn Bhd yang telah diamanahkan dana pelaburan Khazanah Nasional Berhad dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) telah melakukan pecah amanah dana pelaburan tersebut.
Dimana kedua-dua tertuduh membuat pembayaran berjumlah RM8 juta daripada akaun bank milik syarikat Fashion Valet Sdn.Bhd. kepada syarikat 30 Maple Sdn. Bhd. tanpa kelulusan Ahli Lembaga Pengarah syarikat Fashion Valet Sdn Bhd
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Public Bank Berhad Cawangan Bukit Damansara, 36-40 Medan Setia 2, Plaza Damansara Bukit Damansara pada 21 Ogos 2018.
Justeru pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang membawa hukuman pemenjaraan tidak kurang dua tahun dan maksimum 20 tahun dan sebat dan denda jika sabit kesalahan.
Sebelum ini, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, pertuduhan ke atas pasangan suami isteri itu membabitkan kerugian RM43.9 juta pelaburan Khazanah Nasional Berhad dan PNB dalam FashionValet.
Pada 28 November lalu, SPRM memaklumkan pihaknya telah melengkapkan kertas siasatan membabitkan pasangan suami isteri itu berhubung kes kerugian pelaburan berkenaan.
Terdahulu SPRM mengesan terdapat beberapa transaksi agak mencurigakan dalam siasatan berhubung kerugian pelaburan dalam syarikat e-dagang berkenaan sejak 2018 sehingga 2023.
SPRM dilaporkan membuat rampasan kira-kira 60 kotak mengandungi pelbagai dokumen daripada FashionValet, Khazanah dan PNB untuk membantu siasatan.
Related Topics
Must-Watch Video
Gempak Most Wanted Awards 2024