Laman Utama
Ashraf Muslim Tak Kisah Digelar Hero Tua - "Pengarah Tak Pilih Awet Muda Je, Asalkan Kena Tahu Jaga ..."
Pelakon Ashraf Muslim tidak kisah digelar hero tua, malah masih menjadi pilihan penerbit dan pengarah sehingga kini.
Bagi Ashraf, 41, selepas hampir dua dekad bergelar anak seni, faktor utama yang dititikberatkan adalah impak lakonan yang memberikan kesan kepada penonton.
"Usia hanyalah sekadar angka. Apa yang lebih penting, semakin tua jadi makin matang dalam bidang lakonan.
"Saya menjadikan hero tua seperti Datuk Rahim Razali dan Sidi Oraza sebagai inspirasi untuk menjadi pelakon berkaliber dalam industri seni tanah air," katanya.
Mengimbas latar belakangnya, Ashraf berkata, dia mula berlakon pada 2005 dan kini sudah 17 tahun berkecimpung dalam bidang lakonan.
"Saya tidak melihat menjadi pilihan pengarah bagi watak hero hanya bersandarkan pada wajah awet muda.
"Sebaliknya, saya sentiasa menjaga ‘attitude’, hormat pada orang dan menjaga kualiti dalam lakonan.
"Saya bermula dari pelakon ‘kayu’ sebelum berada pada tahap sekarang.
"Sebab itu, saya tidak kisah berlakon dengan pelakon baharu yang dianggap ‘kayu’, asalkan mahu belajar ilmu lakonan," katanya yang tidak berdepan masalah untuk bergandingan dengan pelakon baharu.
Bakal muncul dengan filem seram, Musyrik - Api Neraka Menantimu, Ashraf berkata, dia menerima tawaran berlakon dalam filem arahan Arjin Uppal itu kerana mahukan kelainan.
Menerusi filem terbitan White Merpati Entertainment Sdn Bhd itu, Ashraf bergandingan dengan Aeril Zafrel dan Ruhainies selaku teraju utama.
"Saya sudah lama tidak berlakon cerita bergenre seram. Apa yang lebih mencabar apabila banyak babak penggambaran dilakukan pada waktu malam.
"Saya tertarik dengan watak ustaz diberikan. Jalan cerita filem ini juga memaparkan realiti dalam situasi hari ini," katanya.
Selain Ashraf, Aeril dan Ruhainies, filem Musyrik - Api Neraka Menantimu! turut menampilkan barisan pelakon seperti Aishah Ilias, Qaseh Shuhada, Arwan Umar dan Neera Azizi.
Filem Musyrik - Api Neraka Menantimu! mula menjengah pawagam seluruh Malaysia pada 7 Julai depan. Trailer rasmi filem disiarkan jam 6 petang pada 15 Jun lalu menerusi saluran YouTube/WhiteMerpatiMovies.