Laman Utama
Ashton Kutcher Dedah Alami Penyakit Parah: “Saya Bersyukur Kerana Masih Hidup”
Aktor Ashton Kutcher mengejutkan peminatnya dengan pengakuan mengenai kesihatan dirinya.
Kutcher yang sudah lama tidak muncul di khalayak mengatakan lebih setahun lalu dirinya telah diserang penyakit berkaitan radang pembuluh darah (vasculitis) yang membuatkan ‘kekuatan’ tubuh badannya menjadi terlalu lemah.
Penyakit tersebut membuat dia harus ‘berperang’ untuk hidup selepas ia memberi kesan terhadap pendengaran, penglihatan serta masalah untuk bergerak.
“Sekitar dua tahun lalu saya tiba tiba diserang penyakit yang sangat aneh kerana radang pembuluh darah,” katanya secara eksklusif sewaktu menjadi tetamu dalam program Running Wild with Bear Grylls: The Challenge yang ditayangkan National Geographic, lapor CNN.
Suami Mila Kunis itu kemudian melanjutkan bicaranya dengan mengatakan banyak organ dalam tubuhnya terganggu akibat penyakit tersebut.
“Ia membuat pandangan saya kabur, pendengaran jadi tidak jelas dan mengalami keseimbangan tubuh badan yang teruk sehingga sukar berjalan.
“Saya mengambil masa lebih setahun untuk kembali mendapatkan hidup yang baik,” katanya dalam potongan video yang disiarkan oleh Access Hollywood sewaktu Kutcher membuat aktiviti luar seperti mendaki bersama hos Bear Grylls.
Selepas menceritakan kejadian yang menimpa dirinya, bintang berusia 44 tahun tersebut melahirkan rasa bersyukur kerana berjaya pulih serta berpeluang untuk terus hidup.
“Kita tidak akan menghargainya sehingga ia hilang atau tidak lagi mampu melihat misalnya.
“Pada satu masa saya tidak tahu adakah saya akan boleh kembali mendengar atau kembali berjalan. Saya bersyukur kerana masih hidup,” akuinya.