Hiburan
Aufahanie Kesal Ada Jenama Produk Tawar Buat ‘Review’ Selepas Kehilangan Abang Tersayang - “Dimanakah Common Sense Anda? This Is Unacceptable”
Penyanyi Aufahanie meluahkan rasa kesal apabila ada pihak yang mengambil kesempatan terhadapnya biarpun baru sahaja kehilangan abang tersayang, Allahyarham Nidza Afham baru-baru ini.
Ambil Kesempatan
Menerusi perkongsian di Instagram Stories miliknya, Aufahanie mendedahkan terdapat beberapa pihak yang cuba mengambil kesempatan dengan cara menawarkan beberapa kempen media sosial untuk sebuah jenama produk.
Sehubungan dengan itu, penyanyi itu mempersoalkan tindakan pihak tersebut yang didakwa sengaja menunggang nama Aufahanie demi menjual produk mereka.
“I tried to not make things worse tapi makin lama makin banyak pula brand DM saya untuk kempen dan reviu produk mereka.
“Saya baru kehilangan ahli keluarga saya, account saya dicari untuk perkembangan abang saya. Bukan saya viral kerana benda lain.
“Dimanakah common sense anda, DM saya untuk beri kempen kerana engagement saya sedang tinggi sekarang untuk kepentingan brand anda?,” tulisnya kecewa.
Luah Rasa Kesal
Tambah bekas peserta program Big Stage itu lagi, dia menyifatkan perkara tersebut tidak perlu berlaku kerana seolah-olah tidak menghormati perasaannya ketika ini.
“This is unacceptable, sebab dari tiktok, hingga ke DM IG, 2 3 kali brand ini DM saya untuk collab campaign, seolah memaksa.
“Jadi saya rasa saya perlu bersuara supaya anda faham ini tidak patut berlaku. Be professional. Takkan tak ada sorang pun team PR anda yang tahu ini tidak patut berlaku? Kecewa saya,” tulisnya lagi.
Terdahulu, Jenazah Allahyarham Nidza Afham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Bukit Cherakah, Puncak Alam, pada jam 6.30 petang Khamis.
Afham yang aktif membuat persembahan dilaporkan hilang selepas keluar berjogging di Stadium Sultan Suleiman, Klang seorang diri pada Selasa malam.
Teman wanita mangsa kemudiannya mengesan telefon bimbit mangsa berdekatan jambatan Sungai Klang selepas gagal dihubungi.
Susulan itu, keluarga mangsa bergegas ke tempat kejadian turut menemui telefon bimbit dan dompet milik mangsa.
Pada Rabu, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, mengesahkan mayat lelaki yang ditemui di sekitar jambatan Sungai Klang kira-kira jam 7 malam adalah Nidza Afham.
Mayat mangsa ditemui oleh orang awam yang sedang memancing di kawasan berkenaan.