“Aura Dia Lain Macam” - Pengarah Gerun Jumpa Legenda! Eman Manan Setuju Berlakon Rahsia Lepas Baca Skrip
Pengarah filem Rahsia versi Reboot, Shamyl Othman mendedahkan perasaannya ketika bertemu pelakon legenda, Eman Manan.
Menurut Shamyl, dia berasa gementar ketika kali pertama mengadakan pertemuan dengan aktor hebat itu.
“Pertemuan pertama saya dengan Eman Manan pada ketika itu adalah di sebuah restoran dan sejujurnya saya sangat gementar.
“Gerun jugalah sebab Eman jenis yang tidak bercakap banyak. Masa perjalanan nak bertemu itu kami ada berpendapat mungkin dia tak akan minat sangat dengan cerita ini.
“Tapi apabila dia sudah baca skrip, dia sukakan skrip itu, bertanya beberapa soalan dan saya rasa apa jawapan yang saya berikan itu berjaya memuaskan hati dia,” katanya kepada Gempak.
Dalam pada itu, Shamyl juga menyanjungi disiplin dan kredibiliti Eman Manan sebagai seorang pelakon.
“Dia sangat profesional, bila datang untuk penggambaran dia sudah tahu apa yang nak disampaikan.
“Walaupun dia seorang pelakon legenda, namun apa sahaja nota yang saya berikan, dia tak pernah nak sangkal.
“Dia akan buat. Aura dia memang lain macam ketika masuk ke set penggambaran, sampai buat kita rasa jangan main-main ketika bekerja. Saya sangat berterima kasih kepada Eman Manan,” jelasnya.
Saksikan Rahsia yang kini sudah berada di pawagam seluruh negara.
Seperti versi asal Rahsia yang membariskan pelakon terkenal negara, versi reboot turut menampilkan wajah-wajah popular.
Watak Ramlah yang dijayakan oleh Noor Kumalasari, kini dilakonkan oleh Nabila Huda. Manakala, watak Hamdan oleh Shukery Hashim digerakkan oleh Fikry Ibrahim.
Barisan pelakon lain termasuk Eman Manan, Marsha Milan, Rashidi Ishak, Qistina Raisah, Syed Ali Murtadha, Mislina Mustaffa, Aloy Paradoks serta Nabil Zakaria di samping penampilan istimewa Othman Hafsham dan Susan Lankester.
Rahsia membawa tagline Dia Takkan Pergi manakala lagu berjudul Alunan Lara adalah lagu tema rasmi Rahsia yang dinyanyikan oleh Njwa.
SINOPSIS:
Keadaan menjadi keruh apabila Saiful tiba-tiba lesap sewaktu mereka berkelah di tepi pantai.
Pihak polis yakin Saiful hilang di persisiran pantai, namun Ramlah berkeras bahawa anaknya disembunyikan kuasa mistik.
Sementara Hamdan menyertai pihak polis dalam operasi pencarian, Ramlah diganggu oleh kelibat wanita yang menggerunkan.
Walaupun tiada bukti kukuh, Ramlah bertekad untuk berdepan dengan puaka tersebut sekali gus merungkai rahsia di sebalik kehilangan anaknya itu.