Ayda Jebat Tak Selesa Perut Disentuh Ketika Bergambar - “Nak Tegur Tapi Tak Terkeluar Pula Kata”
Pelakon dan penyanyi Ayda Jebat meminta pandangan wanita yang sedang hamil mengenai tindakan segelintir masyarakat yang gemar memegang atau mengusap perut ketika bergambar.
Tidak selesa dengan situasi itu, Ayda bagaimanapun berkata dia tidak kisah jika ada peminat ingin bergambar dengan memegang bahu atau tangan namun tidak berlebihan dengan mengusap perutnya.
“Mommies selesa tak kalau tengah mengandung, orang tiba-tiba kat luar pegang-pegang perut mommies? Saya minta maaf. Saya okay saja kalau nak selfie pegang bahu ke tangan saya tu dah biasa.
“Tapi tengah mengandung ni sensitif dia lain sikit bila kakak-kakak atau makcik-makcik jumpa terus pegang raba-raba perut kita. Nak tegur, tapi tak terkeluar pula kata.
“Faham kadang-kadang acik teruja… tapi harap faham situasi kita dan terima kasih atas doa yang baik untuk saya dan baby, sudah memadai,” luah Ayda.
Pada perkongsian yang sama, penyanyi lagu Be Mine ini juga berkongsi pengalaman berdepan dengan seorang wanita yang memegang perut hanya untuk merasai tendangan bayinya dalam kandungan.
“Ada yang sambil pegang sambil ‘acik kalau kuis macam ini saja dulu baby dah tendang, jap tunggu anak Ayda tendang tak’. (Sis muka dah petak). Korang rasa macam mana ya,” kata Ayda.
BACA SINI: Sepatutnya Ayda Jebat Sambut Kelahiran Anak Ke-2 Pada Ulang Tahun Perkahwinan Ke-3, Tetapi…
Rata-rata netizen terutama wanita yang sedang hamil dan pernah melalui situasi yang sama memahami apa yang dirasai Ayda serta berharap semua pihak tidak melakukan perkara tersebut.
Malah ada juga segelintir netizen yang menasihati agar tidak membenarkan sesiapa mengusap atau memegang perut ibu hamil kerana bimbang ia melibatkan sihir atau ilmu hitam.
Minggu lalu Ayda dan suaminya iaitu Nabil Mahir mengumumkan bakal menimang cahaya mata lelaki yang dijangka lahir pada penghujung tahun ini.
Untuk info, Ayda mendirikan rumah tangga dengan Nabil pada 1 Januari 2021 dan hasil perkahwinan mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Ana Nayla yang kini berusia dua tahun.