Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!
Hiburan

“Aziz Harun Hanya Kawan Baik, Dalam Dompet Tak Ada Gambar Dia” - Aisha Retno

Mya Amri 17/01/2024 | 06:55 MYT

Penyanyi, Aisha Retno, 23, menyifatkan hubungannya bersama Aziz Harun hanyalah sekadar kawan baik.

Menurut Aisha, Aziz merupakan antara insan yang menyaksikan perjalanan karier seninya sejak awal dan sentiasa memberikan sokongan kepadanya.

“Kami masih berkawan baik tapi saya percaya dia juga sibuk dengan kehidupannya dan saya pun sibuk, jadi berjumpa agak jarang.

“Kali terakhir saya berjumpa dia pejabat kerana kami satu syarikat rakaman. Selepas itu memang tiada berjumpa.

“Cuma kami juga ada rancang untuk keluarkan lagu raya, sebab tahun lepas kami ada buat ‘teaser’ lagu raya itu dan tular di TikTok.

“Jadi bila ramai yang minta, kami akan kembalikan kolaborasi Aisha Retno dan Aziz Harun. Kami sentiasa berkawan baik.

“Kalau ada atau tiada apa pun rasanya antara kami berdua sajalah. Tapi, kalau nak kata kami ‘keep in private’ tiada juga, tapi kami memang berkawan baik.

“Sememangnya Aziz Harun adalah insan yang menyaksikan perjalanan kerjaya saya, dia adalah artis pertama yang mengikuti saya di media sosial.

“Dia jugalah orang pertama yang cakap saya perlu menjadi artis. Ketika itu saya buat lagu ‘cover’ dan tak sangka pula kami boleh rapat dan berkolaborasi,” jelasnya ketika ditemui Gempak.

Bagaimanpun kata Aisha, dia tidak menafikan ada peminat kepada Aziz yang kurang selesa dengan kolaborasi mereka.

Namun Aisha atau nama sebenarnya Sharifah Aisha Retno Sayed Sipulijam itu menyifatkan ia lumrah dalam dunia hiburan dan terbuka menerima setiap komen dari peminat masing-masing.

“Ada juga peminat dia yang bila berjumpa saya mengatakan ‘oh inilah yang berkolaborasi dengan Aziz’ tapi peminat saya juga sama, ada yang mengatakan perkara sebegitu kepada Aziz.

“Bagi saya, itu perkara biasa. Kami juga profesional, apa yang peminat katakan, kami terima. Kami berterima kasih kepada peminat yang sudah sokong kami berdua lagi-lagi menerusi lagu Jarak yang mencatat jumlah penstriman yang tinggi.

“Tapi apa yang saya boleh cakap, peminat Aziz sangat bagus sebab sangat fanatik padanya dan insya-Allah Aziz akan buat ‘comeback’ sebab dia agak senyap sikit selepas Big Stage.

“Jadi saya gembira peminatnya masih menyokong dia sampai sekarang. Sampailah gambarnya yang tular di media sosial.

“Jadi saya sebagai kawan memang mendoakan yang terbaik buat dia,” katanya.

BERITA TRENDING: Aziz Harun Ulas Isu Ramai Wanita Simpan Gambar Passportnya Dalam Dompet – “ It’s Just Harmless Picture”

Ketika diusik sama ada Aisha turut menyimpan gambar Aziz dalam dompetnya, Aisha menjawab sambil tertawa.

“Dalam dompet saya tiada gambar dia. Buat apa?,” ujarnya.

Berita Trending: Netizen Hairan Kenapa Ramai Perempuan Simpan Gambar Passport Aziz Harun... Ini Sebabnya!

Terdahulu, nama Aziz Harun tular di media sosial berikutan ramai peminat wanita yang menyimpan fotonya di dalam dompet.

Ia berikutan foto Aziz bersaiz pasport itu diedarkan ketika majlis ulang tahunnya yang dianjurkan oleh peminat pada 2 Disember tahun lalu.

#Aziz Harun #Aisha Retno
;