Laman Utama
"Badan Saya Sebelah Kanan Rasa Kebas, Sakit Dada Teruk!" - Caprice Panik Ingat Kena Strok
Penyanyi rap dan aktivis kemanusiaan Caprice dikejarkan ke pusat perubatan di ibu kota apabila mengalami sakit dada selepas bangun pagi semalam.
Jelas Caprice, 33, keadaan menjadi lebih panik apabila dia berdepan kesukaran untuk bercakap dan hampir seluruh badannya menjadi kebas.
"Saya bangun tidur 8 pagi semalam dengan sakit dada yang teruk. Seluruh bahagian kanan badan saya rasa kebas
"Sakitnya berbeza daripada apa yang saya alami di Jordan dan di Kuala Lumpur sebelum ini. Kita fikir serangan jantung atau strok!
"Saya panik dan terus menghubungi ambulan dan perasan saya tak boleh bercakap dengan betul.
"Alhamdulillah, mereka (pasukan perubatan) datang tepat pada waktunya," ceritanya menerusi Instagram Stories.
Sejurus menjalani ujian darah dan imbasan, Caprice dimaklumkan mengalami simptom awal penyakit hyperthyroidism iaitu kelenjar tiroid terlalu aktif hingga menghasilkan terlalu banyak hormon dan membuatkan metabolisma tubuh meningkat.
Justeru, Caprice berharap agar masalah tersebut dapat dirawat dengan ubat-ubatan tanpa perlu melalui rawatan serius seperti pembedahan.
"Selepas buat ujian darah dan buat beberapa imbasan, saya diberitahu ada tanda-tanda Hipertiroid. Kalian boleh buat carian Google sendiri kalau nak tahu lebih lanjut tentangnya.
"Tak boleh lama di sini (hospital), itu yang pasti sebab saya banyak kerja nak buat. Patutlah selama ini saya susah nak tidur, selalu resah dan sesak nafas.
"Saya harap semua ini boleh dirawat dengan ubat-ubatan janganlah sampai option lain (rawatan Radioterapi dan pembedahan)," tambahnya.
Caprice turut berkongsi keadaannya yang dirakamkan oleh pengawal keselamatannya ketika dibawa di dalam ambulan.
Ogos lalu Caprice dimasukkan ke salah sebuah pusat perubatan di Jordan gara-gara mengalami demam dan serangan panik selepas mendapat suntikan dos kedua vaksin COVID-19.
Manakala, pada April tahun lalu, penyanyi lagu Takde Hal Bro itu dikejarkan ke sebuah pusat perubatan di Ampang selepas mengalami sakit dada dan sesak nafas.
Hasil pemeriksaan mendapati dia mengalami masalah asid perut berlebihan.