Laman Utama
"Baru Semalam Kami Jumpa, Makan Sama-Sama... Rupanya Dia Pergi Dulu" - Abang Uyaina Arshad Meninggal Dunia
Pelakon dan pengacara Uyaina Arshad berkongsi khabar duka abang sulungnya, Mohd Attaful Uzair Arshad meninggal dunia awal pagi tadi.
Berkongsi perkara terbabit di Instagram, Uyaina menyifatkan Allahyarham Mohd Attaful Uzair seorang pemimpin keluarga yang baik selepas pemergian bapanya.
"Mohd Attaful Uzair Arshad. Pulangnya abang sulungku ke negeri abadi.. Bertemu Sang Pencipta. Orang baik selalu pergi dulu.
"Dia tersangat baik. Terlalu baik. Anak yang baik. Abang yang baik. Suami yang baik. Ayah yang baik.
"Lepas arwah Baba meninggal, dia jadi ketua keluarga. Dari kecik lagi dia dah set contoh yang baik untuk kami adik-adik. Dia masuk asrama. Kami semua nak masuk asrama. Dia berjaya dalam pelajaran. Kami semua nak berjaya dalam pelajaran. Dia sentiasa dahulukan Ummi. Kami adik-beradik berebut nak berbakti untuk Ummi.
"Dia baik. Dia pemurah. Dia penyayang," ujarnya.
Lebih menyentuh hati, Uyaina sekeluarga baru meluangkan masa bersama-sama Allahyarham semalam.
"Baru je semalam kami berjumpa. Makan sama-sama. Bersembang macam-macam. Gelak sama-sama. Macam-macam juga dia pesan.. Dia risaukan adiknya nak bersalin. Rupa-rupanya dia yang pergi dulu.
"Rasa tak percaya dia dah tak ada. Terlalu awal dia pergi.. Sama usia dengan arwah Baba sewaktu dia meninggal dunia..
"Rasa terlalu perit dan sakit nak diungkap dengan kata-kata.. Kehilangan seorang insan yang terlalu baik. Kehilangan darah daging yang terlalu kami sayang," tambahnya.
Makin sayu apabila hari pemergian arwah abangnya itu merupakan tarikh ulang tahun kelahiran ibu mereka.
"Hari ini, 19 Ogos adalah hari jadi Ummi.. Lama dia plan nak sambut birthday Ummi.. Akhirnya, hari lahir Ummi diiringi dengan pemergian anak sulungnya.. Allahuakbar..
"Abangku Uzair, semoga syurga menantimu.
"Minta kalian semua hadiahkan Al-Fatihah buat Mohd Attaful Uzair bin Arshad.. Doakan juga kesejahteraan & kekuatan buat isteri & anak-anaknya," tulis Uyaina.
Jenazah akan disolatkan di Masjid ATM Sultan Mizan selepas solat Jumaat pada hari ini.
Gempak mengucapkan takziah buat Uyaina Arshad sekeluarga. Al-Fatihah.