Hiburan
Bawa ‘Anak’ Naik Pentas, Aina Abdul Luah Rasa Syukur Dapat Atasi Rasa Takut Terhadap Kucing - “Dulu Saya Tak Boleh Relate”
Penyanyi, Aina Abdul membuat kejutan istimewa kepada peminat yang hadir ke konsert Imaji Tour dengan membawa kucing kesayangannya ke atas pentas.
Akui pernah mempunyai rasa takut terhadap haiwan comel tersebut, pelantun lagu Jadi Ajar Aku itu luahkan rasa lega kerana dapat mengatasi rasa ketakutannya.
Dua haiwan kesayangannya yang diberi nama Susu dan Hero dibawa pemilik nama penuh Nurul Aina Abdul Ghani, 31, dengan menggunakan kereta sorong kucing.“Sebenarnya siapa yang mengenali saya tahu saya seorang yang sangat takut kucing.“Saya punya ketakutan itu gila-gila memang takut, jadi pencapaian terbesar saya dalam hidup adalah apabila saya mampu mengatasi ketakutan saya terhadap kucing,” ujar Aina.
Tujuan Aina membawa kucingnya naik ke atas pentas adalah untuk memberi sumber inspirasi kepada penonton bahawa tiada ketakutan yang tidak boleh kita atasi sebagai manusia.
Pada masa sama, Aina juga menyatakan bahawa dua ‘anak kecil’ itu banyak mengubah kehidupannya.
“Nampak macam kecil namun ia benar. Dua mahluk ini banyak mengubah kehidupan saya.
“Saya tak tahu nak jelaskan bagaimana (sebak).
“Dulu saya tak boleh relate dengan rakan sekerja saya yang mempunyai kucing tapi selepas adanya mereka baru saya faham. Dan saya kerja untuk mereka.
“Apa yang saya nak sampaikan adalah, setiap ketakutan yang anda ada dalam kehidupan anda sebenarnya anda boleh kawal,” katanya.
Aina Abdul menutup tahun 2024 dengan Konsert Aina Abdul Imaji Tour yang berlangsung di Zepp KL.
Penonton yang hadir disajikan dengan 18 buah lagu Aina antaranya Imaji, Sedia Terluka, Jangan Mati Rasa Itu, Gentayangan dan Penat Jiwa.
Zepp KL merupakan lokasi kedua bagi Konsert Aina Abdul Imaji Tour selepas diadakan di Universiti Malaysia Sarawak dan akan menutup tirainya di Universiti Utara Malaysia (UUM) pada 11 Januari ini.
Must-Watch Video