Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!
Hiburan

Bekas Madu Miera Leyana Lega Nama Bersih Dari Sabitan Nusyuz - "Selepas Dua Tahun, Saya Syukur ..."

Gempak 29/02/2024 | 04:22 MYT
Bekas madu pelakon Miera Leyana iaitu Adibah Abdul Mutalib, lega apabila kes nusyuz yang difailkan bekas suami, Rosland Othman, 51, pada Disember 2021 lalu, berpihak padanya.

BERITA TRENDING: Suami Miera Leyana Cerai Isteri Pertama Talak Satu!

Bercakap kepada media, Adibah, 51, yang ditemui di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, pagi Khamis selepas selesai prosiding berkata dia lega apabila namanya bersih dari sabitan nusyuz.
“Alhamdulillah selepas dua tahun kes ini berjalan, saya sangat bersyukur keputusan berpihak pada kita.
“Tak tahu nak cakap apa, saya hanya syukur dan lega. Alhamdulillah semua ini untuk saya membersihkan nama.
“Yang penting tiada label nusyuz dan sekarang kita boleh meneruskan hidup. Macam-macam usaha kita buat dan syukur tuan hakim nampak,” katanya.

BERITA TRENDING: "Tak Tahu Apa Salah Saya"- Dah Cuba Selamatkan 28 Tahun Perkahwinan, Madu Miera Liyana Reda Jika Diceraikan Hari…

Rosland memfailkan kes nusyuz itu terhadap Adibah ketika mereka masih suami isteri atas faktor alasan ingkar perintah suami apabila tidak meminta izin ketika keluar dari rumah pada 24 September 2021.
Nusyuz difailkan Rosland selaku plantif dan Adibah sebagai defendan itu dibicarakan di hadapan Hakim Abdul Fattah Kamarudin di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, di sini.
Adibah diwakili peguam, Junid Ramali, manakala Rosland diwakili Nurul Balqis Nordin. Turut hadir adalah saksi Adibah yang juga anak sulungnya, Nur Izzah Rosland, 27 serta saksi kepada Rosland yang juga ibu mertuanya, Aisah Abdullah, 62.
Peguam mewakili Adibah, Junid Ramali berkata pihaknya bersyukur mahkamah memutuskan anak guamnya tidak bersalah.
“Alhamdulillah keputusan memihak kepada klien saya, Adibah, di mana dia dibebaskan dari tuduhan nusyuz dan dibebaskan dari disabitkan nusyuz apabila tuntutan plaintif ditolak oleh mahkamah.
“Jadi mahkamah menerima hujahan kita, di mana kita menyatakan bahawa plaintif tak bersungguh memperbaiki hubungan rumah tangga dan buat tuntutan nusyuz hanya untuk menganiaya pihak defendan ataupun nak menunjukkan hanya defendan yang bersalah dalam isu keruntuhan rumah tangga.
“Kita berjaya menyakinkan mahkamah bahawa defendan berusaha sedaya upaya memperbaiki rumahtangga namun plaintif menceraikannya, syukur mahkamah menerima dan memutuskan defendan bukanlah isteri yang nusyuz.
“Bagaimana yang diperjuangkan oleh Adibah selama ini dia tidak melakukan perkara yang
derhaka dan nusyuz sepanjang perkahwinan seperti yang didakwa plaintif,” katanya.

PILIHAN PEMBACA: Beri Alasan Dirinya Layak, Suami Miera Leyana Tuntut Hak Penjagaan Anak Dari Isteri Pertama

Junid berkata keputusan baik itu juga membolehkan Adibah meneruskan kehidupannya dengan positif.
“Tanggapan masyarakat pada nusyuz ini sangat berat, jadi bila orang di luar sana tidak faham dan tidak tahu bila seorang isteri atau bekas isteri disabitkan nusyuz, ia memberikan tanggapan negatif.
“Jadi dengan keputusan mahkamah hari ini sekurang-kurangnya Adibah boleh teruskan kehidupan seperti biasa bila tiada tanggapan buruk ke atasnya. Ini membuktikan Adibah tidak bersalah memang menjalani tanggungjawabnya sebagai isteri dengan sewajarnya,” katanya.
Tambah Junid, selepas ini pihaknya akan teruskan dengan perbicaraan hadanah dan tuntutan seterusnya.
“Kita sudah bincangkan sebelum ini, kita sudah bincangkan secara baik untuk hak sebagai seorang isteri selama 28 tahun dan Adibah pun ada haknya. Kalau tidak boleh diselesaikan dengan baik, insya-Allah kami cuba ketengahkan hak dia,” katanya.
Sementara itu, Rosland enggan memberikan sebarang komen dan berlalu pergi selepas tamat prosiding.
Bagaimanapun, peguam mewakilinya memberikan jawapan ringkas.
“Klien saya belum bersedia memberikan kenyataan,” katanya.
Terdahulu, Adibah sah diceraikan talak satu oleh Rosland yang juga ahli perniagaan di hadapan Hakim Mahkamah Rendah Syariah, Siti Noraini Mohd Ali di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, pada 3 Ogos tahun lalu.
Mereka yang sudah hidup bersama selama 28 tahun, mendirikan rumah tangga pada 3 Jun 1995 dan dikurniakan lima cahaya mata perempuan yang berusia antara 11 hingga 26 tahun.
Rosland juga berkahwin kali kedua dengan Miera pada Julai 2020 lalu.
Sumber: Berita Harian
#Viral #Madu #Miera Leyana #Nusyuz #Adibah Mutalib #Rosland
;