Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!
Viral

Bekas Ratu Cantik Negara Syukur Menang Kes Saman Bapa Mentua Yang Juga Tokoh ASWAJA - “Hanya Allah Yang Tahu Betapa Sakitnya Di Tangan Mereka”

Khairil Khusyairi 28/10/2024 | 04:50 MYT
Pelakon dan bekas ratu cantik negara, Nor Shakila Saiful memanjatkan rasa syukur apabila mahkamah memberi kemenangan terhadapnya berhubung saman bekas mentuanya yang juga tokoh ASWAJA, Engku Fadzil.

Menang Kes Saman Fitnah Bekas Bapa Mentua

Menurut Shakila atau nama sebenarnya, Nor Shakila Mohammad Saiful Islam, 28, dia bersyukur penderitaan yang ditanggung selama ini terbalas sekaligus keadilan juga dapat ditegakkan.

“Saya masih ingat betapa sakit yang saya terpaksa tanggung apabila orang ini datang ke dalam hidup saya. Hanya Allah yang tahu betapa sakitnya aku di tangan mereka.

“Alhamdulilah keadilan telah ditegakkan. Tidak kira betapa besar, berpengaruh atau berkuasa yang anda fikirkan, ingatlah, Allah lebih besar daripada anda. Apa sahaja yang dia berikan kepada anda hari ini, dia boleh mengambil semuanya kembali esok.

“Jangan sombong dan memandang rendah orang lain, anda tidak pernah tahu di mana anda akan berdiri esok,” tulisnya di threads.

Fakta Kes

Terdahulu, bekas bapa mentuanya, Engku Fadzil memulakan saman terhadap Shakila Saiful di Mahkamah Tinggi Shah Alam di bawah kausa fitnah.

Engku Fadzil mengatakan Shakila telah memfitnahnya di media sosial tentang pengguguran kandungannya. Engku Fadzil turut mendakwa Shakila mempunyai niat jahat untuk menjatuhkan reputasinya.
Mahkamah mendapati Engku Fadzil gagal membuktikan kes dan perlu membayar kos sebanyak RM25,000 kepada Shakila.
Kes saman kedua adalah saman balas Shakila berkenaan kausa penipuan/salahnyataan. Shakila mendakwa Engku Fadzil melalui Engku Fakhruddin (bekas suami) telah membuat representasi salah dan/atau penipuan apabila meyakinkan Shakila untuk menggugurkan kandungannya dengan mengatakan Fatwa Negeri Perlis dan Pahang membenarkan perbuatan menggugurkan kandungan tersebut.
Mahkamah mendapati Shakila berjaya membuktikan kes terhadap Engku Fadzil dan Engku Fakhruddin. Kedua-dua mereka perlu membayar gantirugi sebanyak RM80,000 kepada Shakila.
Pada tahun lalu, Shakila membuat pendedahan mendakwa dirinya ditipu dalam perkahwinannya selepas mengaku pernah menggugurkan janin kembarnya yang ketika itu berusia sebulan di dalam perut hasil persetubuhan luar nikah.
Dedah Shakila, dia melakukan perbuatan itu selepas dipujuk oleh keluarga suami dengan alasan fatwa di dua buah negeri menghalalkannya (gugurkan kandungan).
Dia dan suami berkahwin pada 22 Mei 2022 sebagai janji menggugurkan janin itu.
Mengulas lanjut, Shakila memberitahu, selepas enam bulan berkahwin, dia telah mengalami keguguran (kandungan selepas nikah).
Menurut doktor yang merawatnya, dia telah mengalami ‘chemical pregnancy’ yang merupakan kesan kepada pembuangan kandungan pernah dilakukan sebelum ini.
Namun, lapan hari selepas mengalami keguguran, suaminya telah memfailkan penceraian di Mahkamah Syariah atas alasan tidak munasabah sama sekali.
Gara-gara tindakan suaminya itu, dia telah mengalami depresi yang sangat teruk sehingga pernah membuat cubaan membunuh diri sebelum ini.
Shakila di dalam keterangan beliau di mahkamah mengatakan bahawa cerita beliau di media sosial adalah cerita yang benar, berasaskan kisah sebenar yang berlaku terhadap dirinya, beliau lalui sendiri dan bukannya fitnah kepada Engku Fadzil atau Engku Fakhruddin.

#pelakon #saman #Menang #Bapa Mentua #Kes #Bekas Ratu Cantik Negara #Engku Fadzil #Shakila Saiful #Tokoh ASWAJA
;