Laman Utama
Belasungkawa: Meninggal Dunia Pada Usia 68, Berpulangnya Penyanyi Berhati Mulia Rohana Jalil
Berita berpulangnya ke negeri abadi atau meninggal dunia penyanyi senior Rohana Jalil sekitar pukul 11.33 malam tadi disambut penuh duka dalam kalangan keluarga, sanak saudara, teman taulan dan peminatnya.
Meski semua berduka namun menyambut berita tersebut dengan tenang dan redha. Sementelah, Allahyarham diketahui jatuh sakit sejak April lalu.
Hanya pada 20 Jun 2023 pukul 11.33 malam, penyanyi dengan nama sebenar Dara Abdul Jalil ini dijemput pulang ke sisi Sang Pencipta. Rohana meninggal dunia di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) akibat kebocoran usus dan jangkitan kuman.
Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam USJ22, di sekitar pukul 11.45 pagi tadi.
Anak kelahiran Kota Tinggi, Johor Bahru ini meninggalkan suami, Jahangir Khan dan tiga cahaya mata perempuan termasuk pelakon dan penyanyi, Kilafairy atau Syakila Nisha.
Di sepanjang karier dan menjadi sebahagian anak seni tempatan, Rohana telah meninggalkan banyak kesan manis bukan sahaja kepada dirinya sendiri tetapi dalam kalangan rakan seperjuangan.
Penyanyi yang cukup terkenal dengan lagu Rayuanku ini disifatkan oleh sahabat-sahabatnya termasuk Azizul Khamis, Salwa Abdul Rahman, Jaafar Onn dan Azharina sebagai seorang wanita berhati mulia.
Selain diketahui gemar bersedekah, pemenang Bintang RTM 1981 ini juga dikatakan tidak lekang membaca Al Quran serta seorang yang penyayang.
Semua kata manis dan pujian itu bukan cerita rekaan. Bagi anaknya sendiri, Kilafairy yang ditemubual media, pemergian ibunya disifatkan sangat mudah dan tenang.
Kilafairy yang ditemui di Tanah Perkuburan Islam USJ 22, tempat persemadian ibu tercinta juga mengatakan Rohana seolah ‘pergi’ dalam keadaan tersenyum.
“Alhamdulillah, mama pergi dalam keadaan baik dan semuanya dipermudahkan. Malah, mama juga pergi dalam keadaan seolah-olah tersenyum,” katanya kepada media.
Untuk generasi kini, nama Rohana Jalil barangkali hanya pernah didengar namun sosoknya tidak dikenali apatah lagu-lagunya menjadi koleksi.
Namun bagi generasi yang lahir sekitar tahun 80-an, Rohana Jalil adalah penghibur wanita legenda. Beliau malah sehingga akhir hayatnya masih menjadi pujaan dan kegemaran kebanyakan peminatnya untuk membuat persembahan secara tertutup bukan hanya di Malaysia tetapi di Singapura sehingga Brunei.
Suara merdu dan sifat serta tutur kata sopannya akan sentiasa menjadi ingatan. Bersama senyum manis, Rohana akan tetap dikenang sebagai penyanyi lagu raya seperti Gembira Di Hari Raya, Masih Dalam Ingatan, Jangan Main Mata dan Jauh Terkenan yang tiada duanya.
Semoga Allahyarham Rohana Jalil bersemadi dengan tenang dan buat seluruh keluarganya, Gempak mengucapkan salam takziah.
ARTIKEL BERKAITAN: "Mohon Doakan Arwah Mama" - Kilafairy
ARTIKEL BERKAITAN: TERKINI! Rohana Jalil Meninggal Dunia