Laman Utama
"Berat Badan Saya Pernah 100KG Dulu, Tak Ada Siapa Nak Ambil Berlakon" - Zul Ariffin
Polemik pelakon berbakat vs rupa masih menjadi topik hangat dalam kalangan pemain industri tempatan.
Tampil mengulas perkara terbabit, kata pelakon kacak dan berbakat besar, Zul Ariffin, hal yang diperdebatkan sangat subjektif dan punyai peranan masing-masing dalam bidang seni.
"Argumen ini kalau kita bincang memang takkan pernah habis. Jangan jadi bitter (negatif). Kalau orang tak upah kita bekerja (berlakon), jangan bitter.
"Saya tak pernah merungut kalau orang tak ambil saya berlakon. Terima sahaja sebab rejection (penolakan) ada di mana-mana sahaja.
"Orang mungkin akan tolak kita hanya kerana kita tak cakap ‘hai’ dalam mana-mana majlis atau acara. Kita tahu tahu tapi realitinya memang agar kasar. Tapi, adik-adik semua selamat datang ke showbiz (dunia hiburan)," katanya.
Zul ditemui ketika penggambaran muzik video Cinta Sahabiyah nyanyian Datin Alyah di Puncak Dani, Genting Highlands, Pahang, baru-baru ini.
Tambah bintang filem Talbis Iblis itu lagi, tidak kiralah rupa paras atau bakat lakonan, perkara paling penting adalah sentiasa bekerja keras dalam memperbaiki diri setiap hari sebagai seorang pelakon.
"Kalau nak selamat, pisau itu biar tajam. Pisau itu asah selalu sebab bila pisau atau kapak itu tajam, seseorang itu tak perlu menunggu bertahun-tahun nak tebang pokok.
"Mungkin hanya perlukan beberapa jam sahaja. Kalau pisau tajam (bakat lakonan terus diasah), saya percaya benda-benda lain akan senang dibentuk.
"Bukan pertandingan beauty pageant (ratu cantik) nak lawa-lawa sangat. Sedap mata memandang sudah. Kalau produser mahukan panampilan seseorang pelakon diubah macam potong rambut pendek, potong sahajalah.
"Saya ingat lagi dulu berat badan saya pernah 100 kilogram tiada siapa nak ambil berlakon tapi saya telan sahaja realiti tersebut sebab saya faham kehendak showbiz," ulasnya lanjut.
Pelakon Lelaki Terbaik Festival Filem Malaysia ke-31 (FFM31) menerusi filem Sangkar itu menitik beratkan bahawa bakat lakonan boleh diasah dari semasa ke semasa sementelah rupa paras bergantung kepada kehendak skrip projek seni yang diusulkan penerbit atau produksi.
Untuk rekod, Zul yang mulai aktif dalam bidang seni sejak tahun 2008 pernah dinobatkan sebagai Pelakon Lelaki Terbaik (Anugerah Drama Sangat 2021), Pelakon Filem Lelaki Popular (ABPBH31 & ABPBH30), Pelakon Drama Lelaki Pilihan (Anugerah Drama Festival KL 2), Pelakon TV MeleTOP (AME2) dan Pelakon Harapan Lelaki Terbaik (FFM26).