“Bila Orang Cakap Saya Dah Tak Berlakon, Saya Tak Marah” - Cristina Suzanne Rupanya Fokus Besarkan Anak, Jarang Kongsi Kisah Di Media Sosial
Pelakon Cristina Suzanne menafikan tanggapan dia sudah berhenti dari dunia lakonan gara-gara kurang muncul di kaca televisyen sejak lima tahun lalu.
Nafi Berhenti Berlakon
Menurut Cristina atau nama sebenarnya, Cristina Suzanne Stockstill, 39, dalam tempoh tersebut dia hanya memberi fokus kepada anak dan keluarga sahaja.
“Selepas melahirkan saya banyak jaga anak, saya tahu diri saya bagaimana, saya seorang yang tak boleh ‘multitask’ ketika itu kerana takut ganggu emosi anak dan ibu.
“Jadi saya terpaksa fokus pada anak, ibu-ibu pasti tahu bagaimana. Anak saya juga dah lima tahun, jadi saya dah boleh berlakon semula,” ujarnya kepada Gempak.
Tak Kecil Hati
Tambah pelakon yang bakal muncul dalam filem Babah itu lagi, dia juga tidak berkecil hati apabila ada yang menganggap dia sudah meninggalkan karier lakonan.
“Bila orang cakap saya dah tak berlakon, saya tak marah. Saya juga jarang kongsi kisah di media sosial.
“Saya masih berlakon,” jelasnya.
Hati-Hati Pilih Karya
Dalam pada itu, Cristina yang popular menerusi filem KIL itu turut menafikan tanggapan dia bersikap selektif dalam memilih karya.
“Tidak (selektif), kadang-kadang kita mahu cuba karakter baharu, kalau karakter sama saja ia ibarat seperti tak belajar apa-apa.
“Tidak memilih sangat, tak baik tolak rezeki nanti Tuhan tak beri langsung. Tetapi tengok pada keselesaan saya juga, kalau saya nak buat, saya buat.
“Istilah selektif itu ibarat ‘bagus sangat ke saya ini?’. Saya tak mahu itu, saya berhati-hati memilih, bukan selektif,” kongsinya lagi.
Cristina Suzanne mendirikan rumah tangga dengan Faiz Zakaria pada Mac 2018. Perkahwinan mereka kini diserikan dengan seorang cahaya mata lelaki, Noah yang berusia lima tahun.