Hiburan
Bukan Hanya Dirinya, Hos Elly Sugigi Dakwa Ramai Artis Popular Pakai Susuk
Hos Elly Sugigi tanpa berselindung mengaku memasang susuk pada dirinya sebagai salah satu cara menjadi ‘pemikat’ dalam dunia hiburan Indonesia.
Menurut Elly yang juga merupakan seorang pelawak, dia mula memasang susuk pada bahagian wajah sekitar tahun 2010 dan 2011.
Pelaris
Elly, 52, bagaimanapun mendakwa susuk yang dipakai bukan untuk memikat lelaki sebaliknya pelaris buat dirinya sentiasa mendapat pekerjaan.“Biar laris dan banyak pekerjaan. Bila bekerja ramai yang menonton. Bila saya bercakap, ramai yang percaya.
“Bukan untuk kecantikan,” dedah Elly sewaktu menjadi tetamu saluran YouTube Feni Rose Official seperti dilaporkan Viva.co.id.
Wanita yang sering dikaitkan menjalin cinta dengan lelaki muda itu malah mendakwa bukan hanya dirinya mendapatkan susuk yang diambil dari satu kawasan di Cirebon.
Dakwa Elly, ramai rakan artis yang kini sudah popular dan terkenal melakukan perkara sama iaitu memasang susuk sebagai alternatif.
“Ini (pasang susuk) dilakukan untuk pekerjaan. Ramai rakan artis yang juga ke sana pasang susuk. Sekarang semua sudah terkenal dan berjaya,” dakwanya.
Elly bagaimanapun enggan mendedahkan nama rakan artis yang memakai susuk.
“Saya tidak mahu beritahu, tanya rakan lain,” katanya ringkas.