Laman Utama
Bukan Kaleng Kaleng, Raline Shah Mengaku Bawa Pesawat Jadi Hobi Baru
Aktres Indonesia, Raline Shah memang dikenali sebagai seorang selebriti kaya tetapi merendah diri.
Selain sering membuat peminatnya teruja melihat dia dijemput ke pelbagai anugerah antarabangsa serta bersahabat dengan bintang terkenal dunia, gaya hidup wanita ini juga turut menjadi sorotan.
Ini termasuklah sewaktu bintang filem Polis Evo 2 tersebut dilihat menerbangkan sebuah pesawat yang dikongsikan menerusi sepotong video di Instagramnya.
Bukan kaleng kaleng, pelakon berusia 37 tahun itu malah menerbangkan pesawat di Miami, Amerika Syarikat.
Sewaktu bertemu media tempatan, Raline mengaku menerbangkan pesawat adalah hobi baru buat dirinya. Dan video yang dikongsikan sewaktu di Miami katanya sebagai salah satu proses pembelajaran terhadap hobi baru tersebut.
Bukan sekadar hobi, kata Raline dia juga mahu mengutip pengetahuan baru tentang hal di luar kemahirannya.
“Sebenarnya dari kecil saya memang sudah suka melihat pesawat diterbangkan.
“Apabila dilantik menjadi salah seorang ahli lembaga syarikat penerbangan AirAsia, saya semakin berminat melihat pilot menerbangkan pesawat. Ini juga sebenarnya menambah pengetahuan saya,” kata Raline seperti dilaporkan suara.com.
Meski hobi menerbangkan pesawat, Raline mengaku tidak memiliki kapal terbang peribadi.
“Tapi saya tidak selalu belajar sebab tak punya pesawat,” akuinya yang juga mengatakan kesukaran belajar menerbangkan pesawat adalah memberi fokus dan yakin boleh melakukannya.
Dia juga mengatakan untuk mendapatkan lesen sebagai seorang pilot, dia perlu melunaskan beberapa puluhan ribu jam lagi supaya layak.
“Saya juga perlukan beberapa puluh jam penerbangan lagi untuk layak memiliki sijil pilot,” katanya.