Laman Utama
"Bukan Saya Yang Nak Bunuh Diri" - Hafizul Kamal Perjelas Status Di IG Story, Hanya Luahan Pengguna Di Twitter
Pelakon dan pengacara Hafizul Kamal menjelaskan masih belum pernah terlintas untuk dia membunuh diri.
Hafizul yang memuatnaik paparan skrin daripada perbualan yang ditularkan di Twitter pada Selasa lalu memberitahu dia bimbang dengan situasi semasa yang semakin meruncing dalam negara terutama berkaitan isu kesihatan mental dan bunuh diri.
“Alhamdulillah saya belum lagi sampai tahap nak bunuh diri.
“Jadi, saya risau andai tak dibantu di peringkat awal situasi bunuh diri akan menjadi budaya dan normal dalam masyarakat kita..depresi adalah masalah yang sangat serius," jelasnya pada Gempak.
Hafizul tampil merungkai kekeliruan di sebalik kemas kini di Instagram Storiesnya mengenai luahan perasaan individu yang pernah cuba untuk membunuh diri berkali-kali.
Gempak yang turut terkeliru dengan hantaran terbabit memohon maaf dan menegaskan bahawa perkongsian itu tiada kena mengena dengan Hafizul mahupun keluarga dan kenalannya.
Hantaran sama telah dipadamkan bintang filem Paskal itu selepas dihubungi oleh dua temannya yang risau akan keadaannya.
"Selepas saya upload screenshot itu saya terpaksa padamkan semula sebab ada antara rakan saya yang menghubungi saya dan bertanyakan tentang perkara terbabit.
"Diharapkan ia tidak menjadi salah faham lagi kepada semua pihak.
"Saya ingat nak post balik kenyataan itu berserta penerangan sebenar tapi tak sangka ia tular lebih awal dan mendapat perhatian ramai termasuk media," tambahnya.