Hiburan
"Cerai Sebab Tiada Persefahaman, Bukan Sebab Gay" - Bekas Suami Lufya
Bekas suami kepada penyanyi Lufya Omar, Dr Che Hafiz menafikan dakwaan yang mengatakan dia meminati kaum sejenis.
Tegas Dr Che Hafiz, perceraian yang berlaku disebabkan tidak ada persefahaman antara dirinya dengan Lufya.
"Dakwaan yang mengatakan saya suka dengan kaum sejenis itu adalah tidak benar sama sekali. Saya bukan gay. Takkan bila badan sado dengan ramai kawan lelaki terus dicop gay?
"Perceraian saya dengan Lufya bukan disebabkan saya suka lelaki ataupun ada orang ketiga. Tetapi kami tidak ada persefahaman dan beberapa perkara yang saya tak boleh kongsikan kepada umum.
"Zaman sekarang ini bukan saya saja terkena, ramai lagi kat luar sana. Mereka boleh ja guna gambar saya untuk buat akaun palsu.
"Saya hanya ada akaun Facebook dan Instagram saja. Kalau nak kenal siapa individu sebenar di sebalik identiti saya itu ajak la dia keluar.
"Saya sebagai doktor takkan nak buat macam tu. Baik saya buat perkara yang mendatangkan faedah.
"Walaubagaimanapun, saya tetap memandang perkara ini serius sebab tak lama lagi saya akan buka sebuah klinik sendiri. Jadi saya taknak orang salah faham dan fikir bukan-bukan," katanya ketika dihubungi Gempak.
Dalam pada itu, pemilik nama Dr Che Muhammad Hafiz Che Baharum menasihati agar orang ramai lebih berhati-hati serta tidak cepat melatah dengan perkara yang belum sahih.
"Saya tak salahkan netizen yang membuat andaian kerana mereka tidak tahu hal sebenar. Mereka hanya komen berdasarkan pengetahuan yang mereka tahu dengan dipengaruhi orang sekeliling.
"Saya nasihatkan kepada masyarakat supaya lebih berhati-hati dalam hal seperti ini. Jangan terlalu cepat percaya dengan isu yang belum pasti kesahihan dan kebenarannya," katanya lagi.
Dr Che Hafiz mengesahkan rumah tangganya sudah berakhir selepas bercerai talak satu pada 17 Jun lalu di Mahkamah Rendah Syariah Daerah Petaling, Shah Alam.
BACA: "Saya Simpan, Tak Perlu Hebahkan Kerana Mengaibkan.." - Lufya Dah Cukup Bersabar, Ada Bukti...
Dr Che Hafiz dan Lufya mendirikan rumah tangga pada 26 November 2016 dan dikurniakan seorang cahaya perempuan, Laana Haura yang kini berusia tiga tahun.