Hiburan
The Chosen One 2024: “Saya Suka Jenis Suara Yang Berlemak” – Wany Hasrita Dedah Faktor Utama Pilih Mentee
Penyanyi Wany Hasrita berkongsi sebab mengapa dia memilih Geng 3 Beradik termasuk perserta solo,Qal Daienish untuk dijadikan mentee dalam program The Chosen One 2024.
Menurut Wany atau nama sebenarnya Nurshazwany Hasrita Hasbullah, 33 tahun, menyatakan anak muridnya memiliki bakat dan gaya tersendiri yang membuatkan dia memilih mereka sebagai mentee.
“Saya terpegun dengan bakat masing-masing, Kalau kita tengok tiga beradik, mereka mempunyai gaya yang tersendiri dan setiap seorang pun mempunyai keistimewaan yang tersendiri termasuklah Qal”, katanya kepada Gempak.
Kata Wany lagi, dia lebih cenderung menyukai suara yang berlemak dan itu antara sebab penyanyi itu memilih mereka sebagai anak muridnya.
“Saya pula suka yang jenis suara yang berlemak. Sebab itulah saya memilih mereka menjadi anak murid saya”, jelasnya.
Dalam pada itu, Wany turut berkongsi persediaan yang perlu dihadapinya semasa pertandingan ini berlangsung.
“Kalau nak kata persediaan tu memang ada dari segi mental pun ada juga. Saya kena ada dari minggu pertama sampai minggu ketiga.
“Jadi, saya sekarang ini tengah cuba untuk belajar menjadi seorang coach yang baik dan mentee saya juga masih mencuba untuk kejar sebab pertandingan ini sangat laju,” katanya.
Melanjutkan bicara, Wany turut menyatakan bahawa cabaran utamanya sebagai seorang jurulatih adalah menghadapi tekanan kerana bimbang hal tersebut akan memberi kesan kepada persembahan anak muridnya semasa pertandingan berlangsung.
“Saya juga tidak boleh terlampau tertekan kerana mungkin akan memberi kesan kepada anak murid saya semasa bertanding nanti jadi itulah cabaran yang saya hadapi,” luahnya.
Untuk info, Wany merupakan salah seorang coach bagi rancangan kanak-kanak, The Chosen One 2024.
Pertandingan ini akan bersiaran setiap Jumaat, jam 9 malam di Astro Ceria (saluran 611) dan Astro Ria (saluran 104).