Viral

Cikgu Din Reda Pemergian Isteri, Setia Bersama Hingga Akhir Hayat – “Wajahnya Sangat Tenang Dan Bercahaya”

Gempak
03/12/2024
07:53 MYT
Sponsor Banner
Cikgu Din Reda Pemergian Isteri, Setia Bersama Hingga Akhir Hayat – “Wajahnya Sangat Tenang Dan Bercahaya”
Mohammad Izzudin Izhar atau dikenali sebagai Cikgu Din berkongsi perjalanan terkakhir isterinya yang meninggal dunia akibat menghidap barah tulang rawan tahap empat.

Wajah Tenang, Bercahaya

Mohammad Izzudin 34, berkata, dia berada di samping isterinya Nur Atiqah My Yusoff, 30, ketika menghembuskan nafas terakhir jam 9.23 malam tadi, di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) Kota Bharu, dekat sini.
"Dalam tempoh beberapa hari sebelum isteri pergi, dia beritahu saya yang dia sudah reda jika dijemput Ilahi dalam masa terdekat asalkan saya ada di sisinya.

"Alhamdulillah, isteri pergi dengan cara elok, walaupun menahan sakit, tetapi ketika menghembuskan nafas terakhir, wajahnya sangat tenang dan bercahaya.

"Dia isteri yang baik dan sangat taat, saya bersyukur Allah SWT beri peluang untuk saya menjaganya sehingga nafas terakhir malah sempat mengajarnya mengucap dua kalimah syahadah," katanya ditemui di rumahnya di Taman SBJ Putra, Pasir Pekan, Kota Bharu, hari ini
Mohammad Izzudin berkata, isterinya yang baru saja menghabiskan rawatan kimoterapi 10 kitaran, dimasukkan ke hospital pada 9 November lalu berikutan tulang paha patah serta keadaan kesihatannya semakin kritikal.

ARTIKEL BERKAITAN: Isteri Cikgu Din Meninggal Dunia, Reaksi Netizen Bercampur Baur Kenang Kisah Permohonan Pertukaran Penempatan Ditolak… Ulang Alik Sarawak-Kota Bharu

Setia Jaga Isteri Di Hospital

Menurutnya, sepanjang ditempatkan sementara di sebuah sekolah rendah di sini, dia tidak pernah gagal ke HRPZ II untuk menjaga isterinya setiap hari.
"Saya usahakan setiap hari untuk ke hospital kerana selagi tidak nampak wajah saya, isteri akan bertanyakan ahli keluarga di mana saya.

"Alhamdulillah, bermula hari pertama dimasukkan ke wad sehingga hayat terakhir isteri, saya setia di sisinya kerana amanahnya adalah untuk pergi dalam keadaan saya berada di sampingnya," katanya.

Solat jenazah Allahyarham Nur Atiqah diadakan di Masjid Putra Taman Desa SBJ Putra Pasir Pekan sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Baru, di sini, jam 11 pagi tadi.
Berkaitan penempatan kerjanya selepas ini, Mohammad Izzudin menyerahkan kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sama ada kekal di sekolah rendah di sini, atau kembali ke Sarawak.
"Saya tidak mahu memikirkan lagi perkara itu, sebaliknya mahu mengambil masa untuk merawat emosi selain menumpukan perhatian kepada anak tunggal kami, Mohammad Izz Aydan yang berusia empat tahun," katanya.
Sumber: Harian Metro
Related Topics
Must-Watch Video
Gempak Most Wanted Awards 2024