Laman Utama

Cinta Hilang Kata - Prolog | Bab 1

Muhammad Ridhwan Roslan
26/07/2022
08:55 MYT
Sponsor Banner
Cinta Hilang Kata - Prolog | Bab 1

1 Rain Akhtar

Semai cempaka bersulam melati, Terselit di sanggul umpama hiasan; Wahai dewi kencana hati, Mengapa hilang tiada berpesan
Cinta Hilang Kata - Prolog
DIA HANYALAH LELAKI yang menagih kebenaran. Kebenaran yang dipinta malangnya tidak pernah ada daripada kata-kata. Dia cuma lelaki yang memerhati kehidupan yang aneh ini di celah renungan. Bagi gadis yang dicintainya itu, alam ini umpama tinta yang tidak pernah berhenti menitis. Tetapi kehidupan sebenar mana mungkin bernafas hanya di atas kertas dan kata sahaja. Gadis itu memang terlalu banyak berahsia dan berkias. Mengingati Nurul Masmin hanya membuat dirinya terkurung dalam dunia sendirian. Jiwa terasa terbelah dua. Ada rasa seperti menggigit kaca, luka menikam yang dalam. Ada rasa rindu yang tidak terbelenggu.
Sejak peristiwa pernikahan Nurul, dia mencari-cari sendiri... di mana silap, di mana cela perasaan hati. Kata orang itu takdir yang tersurat, tetapi dia hanyut dengan perasaan sendiri. Dia menagih penjelasan yang tidak mungkin dia dapat daripada Nurul Masmin.
Cinta Hilang Kata - Prolog
Dialah Nurul Masmin, gadis yang kadang-kadang dingin namun jernih seumpama titis-titis hujan yang turun mengakrab dan menghangatkan sebuah persahabatan. Rain masih ingat senja itu dia lewat pulang ke kolej.
Motosikalnya meragam dan dia harus menapak untuk ke Kolej Zaaba. Hujan turun tidak semena-mena. Terlalu cepat tanpa sempat dia merencanakan perjalanan yang masih separuh itu. Di tangannya ada payung hitam kecil. Dia pantas membuka payung namun angin kencang lebih garang bertiup. Dia basah dalam masa beberapa saat.
Cinta Hilang Kata - Prolog
Angin menderu, guruh menjerit di langit. Di hadapannya ada gadis yang juga berjalan sendirian. Dari susuknya, Rain sangat pasti itu adik juniornya yang satu jabatan - Nurul Masmin. Dia memberanikan diri menegur. Suaranya sedikit keras melawan deru angin dan bunyi hujan yang kasar. Tidak sampai beberapa saat, hujan turun selebat-lebatnya.
“Nurul... Nurul Masmin!” Gadis itu tidak menoleh. Langkahnya semakin pantas.
“Nurul...” Rain memanggil lagi dari belakang. Guruh semakin bengis. Gadis itu berpaling. Mukanya basah. Bintik-bintik air yang jernih di wajah itu menambah manis Nurul Masmin. Angin yang mengasak hujan menjadikan mereka tidak sempat untuk mencari ruang berteduh.
“Ambil payung ni...” Rain menghulurkan payung yang sudah terkembang tanpa menghiraukan dirinya sendiri basah. “Abang?” Nurul berkerut memandang. “Tak apa... Cepat ambik. Lebat ni!” Gadis itu teragak-agak. “Nurul, cepat! Hujan lebat ni!!!”
Dalam teragak-agak, payung bertukar tangan. Dengan keadaan angin menggila berserta hujan yang kasar dan mencurah-curah itu, payung tidak memberi sebarang makna. Nurul sudah basah kuyup. Rain sendiri lencun.
Dibiarkan gadis itu bergerak di hadapan dan Rain mengekori rapat di belakangnya. Walaupun dari belakang, keasyikan mata nakalnya memerhati tidak mampu dia berbohong. Dia begitu leka memandang dalam memberi penghayatan. Gadis di hadapannya itu memang manis dan sangat mengasyikkan dalam lenggok pantasnya melangkah untuk mengelak hujan. Hujan yang bertuah dapat merangkul gadis itu atau dia yang bertuah dapat bersama Nurul Masmin dalam hujan, dia tidak pasti
Cinta Hilang Kata - Prolog
“Abang...” Tiba-tiba langkah gadis itu terhenti dan dia menoleh. Angin kencang dan langit semakin bergemuruh. Rain dapat merasakan kasut kanvasnya semakin berat menampung air. Laluan ke Asrama Zaaba deras dilimpahi air. Sejuk menggigit ke tulang belakang.
“Kita berhenti sini dululah...” Nurul menunjukkan kawasan pejalan kaki yang berbumbung itu. Hati Rain bergetar mendengar perkataan kita. Sekilas, dia dapat memerhatikan cantiknya raut wajah yang basah dek air hujan itu. Nurul mengangkat sedikit kain baju kurungnya yang sudah tentu boleh diperah kalau mahu disidai. Terlihat betis dan tumitnya yang putih kemerah-merahan. Cantik! Bisik hati Rain nakal. Kenakalan mata itu juga hampir menyebabkan Rain tersadung di dalam lopak air. Dua buah buku kulit tebal yang dipegang terpelanting dan tercelup di dalam air yang keruh di laluan pejalan kaki.
“Habis buku abang basah!” Nurul menggeleng kesal. Lelaki budiman itu tentu tidak akan mendapat kesusahan kalau tidak memaksa dia mengambil payungnya tadi. “Nanti abang keringkan... Boleh jemur.” “Abang urgent ke nak guna buku ni?” “Kenapa?’ “Kalau tak urgent, bagi kita bawak balik. Cover buku tu macam nak tercabut kena air lopak tadi. Kita gamkan balik nanti.” Nurul memandang dengan rasa bersalah pada dua buah buku yang sudah basah itu di tangan Rain. “Tak apa. Sikit aje ni...” “Bagi kita dululah buku tu...” “Okey ni. Buku kena hujan tak demam, Nurul kalau kena hujan demam. Nanti tak boleh pergi kuliah.” Rain tidak mahu menyusahkan gadis itu. “Bagi kita keringkan dululah. Kita gamkan sekali mana yang koyak tu. Nanti kita bagi kat Abang Rain.” Rain sendiri tidak tahu mengapa dia tidak menolak permintaan itu. Dua buah buku yang baru dipinjam di perpustakaan tadi beralih tangan. Dalam hati dia tahu akan ada pertemuan lain bersama Nurul Masmin selepas ini.
Hujan lebat hari itu membuka cerita untuk mereka. Mereka berkongsi payung kecil. Menanti di tepi jalan sementara langit reda. Nurul bercerita hal yang biasa-biasa sekadar untuk mengelakkan diri kaku dan bisu di sisi Rain. Namun bagi Rain, setiap perbualan itu terasa manis saatnya. Dia bercanda bukan untuk membunuh waktu menanti hujan reda. Dia cuba tenang, berusaha untuk memberi ruang yang lebih buat Nurul sewaktu berkongsi payung kecil itu. Kalau saat itu hujan tidak mahu berhenti, dia manusia paling bahagia. Itu ruang untuk dia berada di sisi Nurul dan melindungi gadis itu.
Rain dapat merasakan selepas pertemuan pada hari hujan yang manis dan dingin itu, hatinya semakin mesra dengan Nurul. Gadis itu seperti biasa, banyak berahsia. Tetapi daripada gerak laku, dia dapat menjangkakan Nurul juga selesa bersamanya.
Pertemuan kedua juga tidak dirancang. Biar bukan waktu hujan namun cuacanya tetap dingin dan nyaman. Segalanya bagai merestui.
Cinta Hilang Kata - Prolog
“Abang Rain!” Suara itu bernada girang waktu menegurnya. Mereka bertembung di tepi tasik. “Eh, Nurul...” “Rajinnya joging, Abang Rain!” tegur Ezra dan Che Wanie yang ada bersama Nurul. “Sesekali aje abang rajin...”
“Selalu joging pepagi tak pernah terserempak pun dengan abang?” Spontan Nurul bertanya. “Abang sesekali je rajin. Selalunya malas.” Rain menjawab jujur namun hatinya gembira. Oh, dia tahu mana mahu mencari Nurul pada waktu pagi selepas ini! “Nak ke mana pagi-pagi ni?” tanya Rain lagi. “Kami nak ke Menara Annexe, Telekom. Ada janji kawan kat sana untuk projek Doktor Abu,” ramah Wanie memberitahu. “Ni buku abang. Petang semalam nak bagi abang, gam dia belum kering betul.” Nurul mengeluarkan dua buah buku yang sudah kemas digam dan disalotep pada bahagian kulit yang terkoyak.
“Ya Allah, buat susah-susah ajelah!” “Tak ada apa. Senang aje. Nurul tampalkan dan gamkan mana yang koyak sikit. Lepas tu, tunggu kering. “Kau orang nak cepat ya? Kalau tak, boleh abang belanja sarapan.” “Lain kalilah, Abang Rain. Simpan duit tu untuk kami, ya!” Ezra mengusik. “Tak apa... lain kali Nurul dengan kita orang datang cari abang. Tuntut belanja sarapan ya!” Wanie menyakat. Nurul pula yang terangkat kening. ‘Mahu makan belanja orang, nama aku pulak yang dijual, ya?’ “Okey... lain kali ya! Janji tau!”
Pulang ke kolej, Rain terkejut tatkala membelek buku yang dikembalikan Nurul Masmin. Ada getar di dada ketika membaca catatan tangan Nurul di situ. Setangkai bunga mawar kering dilekatkan pada halaman terakhir buku itu.
Bunga akan layu, warna akan pudar, haruman akan hilang. Kenangan tidak. Terima kasih Abang Hujan untuk bersusah payah di hari hujan yang lalu... -NURUL MASMIN- Ps: Yang akan sentiasa ingat abang setiap kali hujan turun!
Selepas pertemuan kedua di tasik, Rain semakin tidak mampu mengira entah berapa kali dia sering bersama Nurul. Sama ada secara kebetulan atau memang berjanji. Perbualan mereka seputar isu kuliah, kisah kampus, semuanya iseng-isengan. Atau paling-paling dia bertanya khabar manuskrip novel terbaharu daripada Nurul Masmin. Dan setiap hari selepas jam 6:40 pagi, Rain semakin rajin menyarung pakaian sukannya.
Biar dia dihambat tugasan dan kerja-kerja penyelidikan pada tahun akhir, dia akan cuba meluangkan masa. Dia tahu waktu pagi begitu sebelum kuliah bermula, Nurul rajin berjoging keliling tasik kampus. Dan pada detik itu sahaja Rain selesa untuk mendekati Nurul. Kalau langit sudah cerah, pada waktu lain, pasti akan ada kelibat Ezra dan Che Wanie mendampingi gadis yang disenanginya itu.
Pagi itu tatkala langit penghujung April mengirimkan angin dingin tika mereka mengelilingi tasik, Nurul bertanya. Langkah yang awalnya deras menjadi perlahan tiba-tiba. Rain menoleh ke arah gadis di sisinya. Pertanyaan yang menjurus masa hadapan sebelum ini tidak pernah mereka kongsikan. Nurul sibuk dengan kuliah. Berkejaran waktu pula dengan manuskrip dan masih di tahun satu. Rain tidak mahu persahabatan itu mengganggu rutin gadis itu. Untuk itu dia sangat berhati-hati menjaga batas persahabatan.
Cinta Hilang Kata - Prolog
“Nanti lepas habis studi ni apa plan abang?” “Plan?” “Aah... lepas habis studi ni abang nak buat apa?” Tiba-tiba dia jadi termangu-mangu dan tergagap untuk soalan itu. Secara jujurnya dia tidak pernah terfikir kehidupannya selepas bergelar mahasiswa.
“Selesaikan tesis, sudahkan final exam. Cari kerja, kemudian kahwin dengan Nurul. Bolehkan?” Jawapan itu sangat polos dan spontan sebenarnya.
“Abang ni mengada-ngadalah! Kita tanya yang betul ni!” Suara Nurul sedikit nyaring. Pipinya yang merah jambu kerana menahan lelah selepas penat membuat dua pusingan tasik, bertambah merah menahan malu dengan jawapan Rain.
“Betullahkan, abang jawab tu? Habis exam, cari kerja, lepas kerja, kita kahwin... Oh, lupa abang kena kumpul duit dulu.” “Hesy... kita tanya sungguh-sungguh ni. Abang nak further studi ke? Buat master ke?” “Abang jawab sungguh-sungguhlah tu.” “Tak sukalah!” Nurul mendengus kecil sambil menghela nafas. Dia seperti memikirkan sesuatu. “Nurul nak abang sambung belajar ke?”
Gadis itu diam tidak menjawab. Matanya memandang kosong ke arah tasik. “Nurul tanya aje. Abang nak sambung belajar atau tak, itu ikut abanglah. Kalau abang plan lepas belajar, kerja, kemudian kahwin, itu suka hati abang. Tak ada kena-mengena dengan Nurul, okey.” Suara itu tegas selepas dia mengumpul kekuatan dan membuang rasa segan. “Okey, kalau tak mau kahwin sekarang, kita ikat lepas abang habis ya?” “Siapa nak kahwin dengan dia ni...?” Nurul dengan wajah selamba memangkah. “Habis kita nak macam ni sampai bila?” “Sampai bila-bilalah! Kita kawan, kan?” Lenggok lembut manja suara itu menyejukkan hati Rain. “Abang selalu berdoa. Nurul tahu apa doa abang?” “Orang kata kalau kita berdoa, itu antara kita dengan Allah. Lagi elok kalau tak ceritakan pada orang lain.” “Tapi ni doa tentang orang yang abang sayang.” “Doa? Untuk siapa?” Nurul dapat meneka apa ayat seterusnya daripada Rain. Tetapi dia pura-pura tidak faham.
“Tuhan mengabulkan doa hamba-Nya yang tak jemu meminta. Ada doa-doa yang pasti terkabul, doa para mujahid atau doa orang yang teraniaya. Empat puluh memang angka yang istimewa. Nabi Muhammad diangkat menjadi
Rasul pada usia empat puluh, Allah menyempurnakan Taurat kepada Musa dalam empat puluh malam. Dan abang akan sentiasa pastikan setiap hari abang berdoa sebanyak empat puluh kali. Meminta tanpa jemu. Yang pasti dah tercapai pun doa abang empat puluh kali selama empat puluh hari. Kalau terpaksa menanti lagi empat puluh bulan, empat puluh tahun pun abang tak kesah... Abang akan mintak dari Allah untuk sesuatu yang abang sayang.”
Cinta Hilang Kata - Prolog
Nurul terkaku seketika. Dia meneguk liur yang terasa kering. Mukanya terasa berbahang tidak semena-mena.
“Abang cakap apa ni?” “Abang berdoa tanpa jemu untuk kita selalu bersama.” Rain memandang tepat ke arah Nurul. Dia dapat merasakan ada sesuatu yang disembunyikan oleh gadis itu. Dia tidak dapat meneka. Dia tidak mampu mengagak.
Kalau hati gadis itu bukan untuknya, mustahil dia dapat merasakan kehangatannya. Seandainya Nurul tidak menyayanginya, mustahil ada catatan indah tertinggal untuknya bersama bunga mawar kering waktu kali pertama mereka menjalin rasa hati. Bukankah perempuan berkata dan meluahkan sesuatu dengan jiwa. Kalau bibirnya malu menuturkan, baris ayat yang dicatat itu tentu sahaja segala rasa hatinya. Lelaki? Berusaha seadanya! Fikir Rain, dia ingin membuat kejutan. Rancangannya mahu memberikan sesuatu yang manis.
“Cantiknya cincin. Cincin baru ke?” “Taklah... emak punya. Papa bagi emak masa emak umur tujuh belas tahun. Lepas emak cemerlang SPM,” cerita Nurul sambil membelek cincin emas berbentuk hati di jari manisnya. “Hebatnya!” “Dia orang kenal sejak sekolah.” “Boleh abang tengok?” Nurul menanggalkan cincinnya. Rain menyambut cincin yang agak halus itu lalu menyarung ke jari manisnya. Nurul memandang dengan wajah yang berkerut. “Hei, lelaki mana boleh pakai emas!” “Abang ambik berkat ajelah!”
Nurul mencebik dan cincin itu kembali ke jari manisnya. Dengan ukuran cincin untuk Nurul yang sudah dia tahu, Rain sudah berkira-kira. Satu kejutan akan dibuat. Dia akan meminta izin dan mohon restu daripada orang tua Nurul sebagai lelaki budiman. Dia sudah merancang untuk bertemu keluarga Nurul. Dalam diam sebenarnya dia merahsiakan daripada ramai teman yang mereka saling menyayangi. Kerana sayang dan cinta juga dia berusaha mendapatkan peluang kerja secepat mungkin.
Perancangannya bagai direstui. Semuanya dipermudahkan. Alhamdulillah! Berjuta kali dia melafazkan syukur apabila Vad.Com memanggilnya untuk melaporkan diri. Wajah Nurul Masmin terbayang kala itu. Hari pertama bergelar kakitangan Vads di Taman Tun Dr. Ismail, dia tetap merahsiakan daripada rakan mahupun Nurul Masmin.
Terkadang cinta dan kehilangan berjalan beriringan. Kadang-kadang rahsia yang indah itu sebenarnya memakan diri!
Dia rasakan semuanya sudah sempurna. Semuanya menanti saat diucapkan. Tetapi rencana Allah SWT lebih agung. Saat dia mendengar berita itu, dia tidak tahu apa yang harus diucapkan. Haiqal rakan sekolej menghubunginya.
Cinta Hilang Kata - Prolog
“Rain, kau tak dapat jemputan ke?” “Jemputan apa?” “Nurul nikah.” “Hah? Nurul? Nurul mana?” “Nurul Masminlah! Nurul mana lagi.”
Saat itu langit terasa terhempap di bahu. Dia menjerit dalam hati mengharapkan khabar itu sekadar cerita di angin lalu. Mudah-mudahan Haiqal tersalah orang, tersilap nama! “Mana kau tahu?” “Geng-geng lain fowardkan jemputan Amirul.” “Amirul? Kenapa Amirul...?” “Nurul nikah dengan Amirul...” “Hah? Nurul nikah dengan Mirul?” “Itulah! Aku pun blur jugak ni. Macam tak percaya je. Bukan Mirul anti ke budak Nurul tu. Eh, Nurul ni bukan ke awek yang selalu dengan kau masa joging?”
Rain sudah cukup terkelu untuk menerang perkara lalu. Dia berulang tanya demi mendapatkan kepastian. “Betullah bro! Kalau tak caya, kau contact geng kita yang lain. Batch kita mana ada Amirul yang lain. Mirul kitalah tu. Dia sekarang dengan advertising company, kan?” “Hmmm...” “Okey bro... cau dulu!”
Dunia terasa gempita. Awan ternampak-nampak bagai gugur berlapis-lapis dan kemudian berkecai di angin lalu. Rain terkaku dan terkedu.
Nurul Masmin – Amirul – Nurul Masmin – Amirul – Nurul Masmin – Amirul!
Berulang kali dia beristighfar. Dia benar-benar keliru. Permainan apakah ini? Penjelasan yang bagaimana pula bakal diberi Nurul kalau dia bertanya?
Dalam dada yang sebak, jiwa yang merusuh, dia mencari Che Wanie. Dia menghubungi Ezra. Rain tidak pasti apakah rakan-rakan Nurul berdalih atau memang mereka jujur tidak tahu apa-apa. “Sungguh, bang! Kami pun tak tahu apa-apa. Tak pernah Nurul cakap apa-apa pasal Amirul.” Ezra memberitahu.
“Kalau ada pun, dia pernah bagi tau, rumah dia rupanya dekat dengan rumah Amirul. Tak pernah pulak dia cakap dia berkawan dengan Mirul sebelum ni...” sampuk Wanie. “Entahlah... kami pun Nurul tak jemput. Yang dapat jemputan ni semuanya batch abang. Jemputan pun daripada pihak Amirul, bukan Nurul. Kami cuba call dia, tak berjawab pun.”
Memandang wajah Ezra, Rain tahu gadis itu tidak memberi alasan. Dari raut wajah Ezra dan Che Wanie, Rain menjangkakan dua sahabat karib Nurul turut kecewa. Tetapi apalah sangat rasa kecewa dan tersinggung mereka dibandingkan dengan hatinya yang tiba-tiba sahaja dicencang lumat!
Luka yang pedih tidak menghalang dia berusaha. Dia tidak berniat menyinggung hati sesiapa. Jauh sekali Amirul yang pernah menjadi rakan sekampus. Tetapi dia mendambakan penjelasan Nurul. Dia mahu mendengar sendiri dari mulut Nurul, mengapa takdir yang amat melukakan ini terjadi. Telefon tidak dijawab, mesej tidak berbalas, e-mel jauh sekali. Nurul Masmin benar-benar memencilkan diri. Dia berusaha berkirim pesan pada Ezra dan Che Wanie. Jawapan yang diterima sangat menghampakan.
“Kami tak tau mana Nurul sekarang. Lepas dia nikah, kami dengar dia terus pindah. Tak duduk kolej. Mula-mula dengar sekitar Pantai Dalam, lepas tu tak tahulah dia pindah mana. Kami telefon, tapi nombor dia macam dah tak ada dalam perkhidmatan.”
“Kenapa dia buat abang macam ni? Kenapa dia tak terus terang?” Ezra dan Che Wanie tidak mampu menjawab bagi pihak Nurul. Hanya selautan rasa simpati sahaja yang berkocak di hati. Namun dua sahabat itu yakin, pasti ada sesuatu yang menyebabkan keadaan ini menjebak takdir Nurul dan Rain.
“Ezra atau Wanie ada gambar nikah Nurul? Kalau ada, boleh bagi abang?” Suara itu lirih, penuh luka. “Tak ada, bang. Kami pun tak dijemput ke majlis dia.” “Kalau jumpa dia, mintak sangat Ezra dengan Wanie sampaikan salam abang ya! Katakan abang ucapkan ‘Selamat Menempuh Hidup Baru’.” “Insya-Allah, bang... Mungkin lepas naik semester nanti baru kami dapat jumpa dia dekat kampus kut. Sekarang ni macam terputus terus dengan dia. Tak tau macam mana nak contact dia.” Ezra turut berkeluh. Dia sendiri jadi sangat simpati pada Rain.
“Tak apalah, bang. Nurul mesti ada sebab sendiri kenapa dia ambil keputusan macam ni. Abang maafkan dia, ya... Doakan dia yang baik-baik aje.” Wanie cuba menenangkan keadaan. Dia dapat melihat ada air jernih yang bergenang di kelopak mata Ezra. Dan dia dapat merasai keperitan perasaan pada wajah kusut Rain.
“Abang memang takkan berhenti berdoa yang baik-baik untuk Nurul. Sampai bila-bila.” Suara itu mendatar menahan sebak. Sepanjang hayatnya bergelar lelaki, saat itu sangat melukakan. Egonya menggelongsor ke telapak kaki sewaktu dia harus mengesat air mata yang jatuh tanpa dapat dicegah.
‘Selamat Menempuh Hidup Baharu, Nurul Masmin!’ ucap dan doanya tanpa henti dalam hati. Baru kini dia faham dan mengerti kenapa orang yang baru bernikah selalu mendapat ucapan itu. Ya, kerana mungkin ada di antara mereka harus meninggal dan melupakan insan-insan yang pernah mereka cintai pada masa lalu. Malam itu dia tidak mampu memejamkan mata. Segala kenangan lalu berulang mengejar mimpinya. Dia tidak mampu mentafsirkan silang cerita di antara Nurul dan Amirul. Hatinya merintih mencari jawapan sendiri.
Nurul Masmin, engkau adalah sepotong hujung pelangi, Yang sentiasa menemani aku, Saat kita sama-sama mengelilingi tasik itu, Kemudian engkau masuk ke dalam hati aku, Diam di situ tanpa aku mampu mencegah, Dan kau selalu ada, Dalam nafas, dalam sedar dan dalam pejam aku!
Dalam ribut hati yang berpusar, langit malam memuntahkan hujan. Dingin yang mencengkam seperti mengucapkan belasungkawa pada sebuah hubungan berkasih sayang. Rain masih tidak lena. Wajah dan suara Nurul Masmin tidak mampu larut dalam hujan yang turun. Biar hujan sudah tersisa rintik-rintik, namun awan-awan hitam itu belum sepenuhnya terusir pergi. Rain tahu tidak semudah itu juga dia mengusir nama Nurul Masmin dari hatinya..
Related Topics
Must-Watch Video
Unitar