Hiburan
"Cukup-Cukuplah Kontroversi!" - Sophia Albarakbah Buka Buku Baharu 2024, Fokus Filem Jiwa 8 Belas
Meskipun namanya tidak pernah sunyi dilanda kontroversi, pelakon sensasi, Sophia Albarakbah bersyukur kerana rezekinya tidak pernah putus dalam bidang lakonan.
Malah, kata Sophia, 30, dia juga terus mendapat kepercayaan penerbit dan pengarah drama serta filem sepanjang tahun.
“Kini, bukannya masa untuk saya menoleh ke belakang lagi. Saya mahu fokus untuk mengukuhkan nama dalam bidang lakonan.
“Saya bersyukur agenda seni padat sehingga hujung tahun ini.
“Pada masa sama, saya juga ada empat filem yang akan ditayangkan di pawagam pada tahun ini. Antaranya, filem Jiwa 8 Belas,” katanya.
Mengenai kontroversi, kata Sophia, dia enggan terpalit dengan sebarang gosip kerana mahu buka buku baru sempena kedatangan 2024.
“Saya tidak mahu peminat kenal saya kerana pelbagai cerita kontroversi dan bukannya bakat lakonan dipertaruhkan.
“Cukup-cukuplah kontroversi yang pernah melanda kerana saya tidak mahu kisah silam diungkit lagi,” katanya.
Berkongsi filem Jiwa 8 Belas, kata Sophia, dia melakonkan watak heroin bernama Fatien dalam filem terbitan White Merpati Entertainment Sdn Bhd itu.
Katanya, ia adalah filem pertama lakonannya ketika mula bertapak dalam bidang lakonan.
“Saya dapat tawaran berlakon dalam filem Jiwa 8 Belas ini menerusi proses uji bakat pada penghujung 2018.
“Saya tiada asas dalam bidang lakonan dan lakonan memang agak ‘kayu’ ketika itu,” katanya.
Filem 8 Belas arahan S Baldev Singh ini turut menampilkan pelakon berbakat besar seperti Shah Hazvee, Izuan Ramli, Ikhram Juhari, Kanda Khairul, A Galak, Datuk Jalaluddin Hassan, Datuk Fauziah Nawi, Zila Bakarin, Aman Graseka, Akim Nordin, Faha Azhar, Arif Mex dan Acap S.
Jiwa 8 Belas berkisarkan jiwa remaja ini akan ditayangkan di pawagam seluruh tanah air bermula 18 Januari 2024.