Hiburan
Demi Maroon 5, Ribuan Penonton Berhujan & Tidak Move Like Jagger
Adam Levine, Jesse Carmichael, James Valentine, Matt Flynn, PJ Morton dan Sam Farrar ; semuanya sudah melewati usia 40 tahun. Lebih 30 tahun dalam industri namun band yang mereka anggotai iaitu Maroon 5 langsung tidak menua.
Malam itu di bawah hujan rintik yang bertukar lebat, meski ada penonton yang berlari-lari anak menyelamatkan diri, persembahan Maroon 5 lewat kunjungan Konsert Siri Jelajah Maroon 5 Asia 2025 tetap mantap. Tetap berada pada piawaian yang melambangkan kematangan mereka sudah turun naik panggung ribuan kali di serata dunia untuk menghiburkan penonton.
Malam itu, Maroon 5 juga menghangatkan malam yang dingin menerusi rendisi hit mereka yang dipilih daripada tujuh album yang telah dilahirkan.
Adam Levine tampil sangat ringkas dan lebih ironik, vokalis Maroon 5 ini memakai t shirt band tersohor dunia, Metallica pada konsert jelajah Asia 2025 yang dibawakan oleh Live Nation ini.
Tapi siapa peduli kerana setelah penantian panjang 12 tahun, Maroon 5 kembali ke Malaysia dan tetap membuat peminat teruja meski ini bukan kunjungan perdana band kelahiran Amerika Syarikat tersebut ke tanah air.
![](https://d3avoj45mekucs.cloudfront.net/astrogempak/media/2025/feb/astro_gempak_maroon5-(2).jpg)
![](https://d3avoj45mekucs.cloudfront.net/astrogempak/media/2025/feb/astro_gempak_maroon5-(1).jpg)
Sementelah saat hit mereka seperti Payphone, One More Night, Girls Like You, This Love, Won’t Go Home Without You, Sunday Morning dan Harder To Breath didendangkan, tidak ada peminat Maroon 5 yang berdiam diri — semua ikut larut dalam konsert yang saat itu masih hujan dan telah dilupakan (cuaca).
Tanpa banyak bicara, Levine turut membuat peminat puas hati apabila Move Like Jagger dimainkan sebelum menutup tirai konsert jelajah di Malaysia dengan senang hati.
Sebagai sebuah kumpulan pop yang sudah ‘mendunia’ dengan segudang reputasi, Maroon 5 berjaya mengubat rindu buat peminat yang membesar dengan lagu-lagu mereka dan membuktikan mereka masih relevan menerusi penghasilan karya baharu yang telah berjaya mencuri hati peminat generasi kini.
![](https://d3avoj45mekucs.cloudfront.net/astrogempak/media/2025/feb/astro_gempak_maroon5-(3).jpg)
![](https://d3avoj45mekucs.cloudfront.net/astrogempak/media/2025/feb/astro_gempak_maroon5-(4).jpg)
Malah Konsert Siri Jelajah Maroon 5 Asia 2025 itu turut dihangatkan dengan persembahan pembukaan daripada kumpulan Culture Wars yang tampil tidak kalah energetik.
Dibarisi oleh Caleb Contreras, Dillon Randolph, David Grayson dan Josh Stirm, Culture Wars yang pada sesi temu bual mengaku tidak mempunyai masalah mengikut garis panduan persembahan di Malaysia mengotakan janji apabila ‘pandai membawa diri’ sekaligus menunjukkan tahap profesional mereka sebagai sebuah kumpulan yang menghormati budaya sesebuah negara.
Terdahulu Maroon 5 juga tampil di di Manila, Filipina; Jakarta, Indonesia; Bangkok, Thailand; Tokyo, Jepun dan bakal mengadakan konsert di Kaohsiung, Taiwan.
![](https://d3avoj45mekucs.cloudfront.net/astrogempak/media/2025/feb/astro_gempak_maroon5-(5).jpg)
Must-Watch Video