Berita
Dendam Masih Membara, Gangster Tembak Rumah Salman Khan
Kediaman pesohor Bollywood, Salman Khan ditembak dua individu tidak dikenali pada 14 April sebelum sekumpulan gangster yang diketuai Lawrence Bisnhnoi mengaku melakukan aksi tersebut.
Serangan
Menerusi laporan media tempatan, adik Lawrence, Anmol Bishnoi bertanggungjawab melakukan serangan yang terjadi pada pukul 5 pagi.
Diketahui tiga das tembakan dilepaskan ke kediaman jenis apartment milik Salman di Mumbai, India dengan dua orang suspek kemudian dilihat meninggalkan kediaman aktor tersebut seperti yang terakam dalam CCTV.
Meski kediamannya telah diancam oleh penjenayah dan gangster, Salman menangani isu tersebut dengan tenang.
Tiada kenyataan
Bapa Salman, Salim Khan malah mengatakan tiada kenyataan yang boleh diberikan kepada pihak media dan meminta agar semua pihak bertenang dan tidak bimbang.
“Tidak ada kenyataan untuk diberitahu. Mereka (penjenayah) hanya mahukan publisiti. Jangan bimbang,” katanya sewaktu dihubungi News 18.
Serangan tersebut telah membuat kawalan keselamatan di sekitar kediaman Salman dipertingkatkan.
Salman, 58, malah menasihatkan agar tidak ada pihak yang datang menziarah atau melawat kediamannya dalam masa terdekat.
Kumpulan gangster tersebut diketahui sudah beberapa kali melakukan ugutan bunuh terhadap bintang Tiger 3 itu.
Lawrence antaranya dengan lantang mengakui mahu membalas dendam terhadap Salman terkait kes pemburuan haiwan antelop jenis blackbuck beberapa tahun lalu.
Beberapa bulan lalu, kumpulan gangster tersebut dipercayai telah membunuh penyanyi Sidhu Mosse Wala.