Hiburan
"Di Puncak Sana Oksigen Kena Bayar .. Terpaksa Buang Air Di Semak.." - Pengalaman Daki EBC Buatkan Azhan Rani Insaf
Pelakon Azhan Rani akui pengalaman mendaki Everest Base Camp (EBC) telah membuatkannya berasa insaf dengan nikmat yang diperoleh di tanah air sendiri iaitu Malaysia.
Menurut Azhan, dia menghadapi pelbagai kesukaran sepanjang ekspedisinya bermula.
"Apa yang saya dapat sepanjang pendakian itu ialah insaf! Di sini kita hidup bermewah sedangkan di sana hidup bercatu.
"Bayangkan di puncak sana air mineral pun mahal. Apatah lagi kalau nak oksigen pun perlu bayar.
"Satu tong oksigen untuk kegunaan satu jam bernilai hampir RM745. Kita di sini, tak perlu bayar oksigen yang disedut.
"Sampaikan nak cari tandas pun susah terpaksa membuang air di semak dengan menggunakan batu untuk mencuci.
"Mujurlah perut tidak meragam pada masa itu. Itu semua kita terpaksa lalui sebab tiada pilihan lain.
"Perkara-perkara sebegini yang membuatkan saya menginsafi diri dan menjadi lebih hargai apa yang kita ada dalam kehidupan ini." katanya semasa ditemui di majlis tayangan perdana filem Motif di e@Curve, Damansara.
Azhan memulakan ekspedisinya bermula 31 Ogos lalu dan telah berjaya menawan puncak Kala Patthar dan EBC pada 9 dan 10 September sebelum pulang ke tanah air pada 17 September lalu.
Tambah aktor yang popular dengan watak Ustaz Syed Hamadi dalam drama Nur dan Nur 2 ini, dia telah muntah beberapa kali demi mencapai impiannya.
"Saya ada mengalami muntah lebih kurang sebanyak sebelas kali. Sembilan kali ketika mendaki dan dua kali ketika turun.
"Namun, saya bersyukur dan gembira kerana berjaya pacakkan bendera Malaysia di atas puncak," katanya lagi.
Selain Azhan, filem Motif turut dibintangi oleh pelakon hebat seperti Datuk Rosyam Nor, Sharifah Amani, Iedil Dzuhrie Alaudin, Taqim Zaki, Emma Tosh dan ramai lagi.
Filem arahan Nadiah Hamzah ini akan ditayangkan di pawagam mulai 26 September ini.