Berita
Diisytihar Musuh Selepas Keluar GISB, Bekas Jemaah Cerita Perit Hidup Tiga Tahun Dipisah Anak Isteri - "Fikiran Didoktrin, Mereka Ditempatkan Di Negara ..."
Kisah syarikat GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) yang didakwa memanipulasi penghuni rumah amal mereka ternyata masih memberi kesan mendalam buat seorang bekas pengikut kumpulan berkenaan.
Dia yang mahu dikenali Shahrul bahkan tidak terkejut dengan apa yang didedahkan oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain pada 11 September lalu selepas 201 kanak-kanak lelaki dan 201 perempuan berusia setahun hingga 17 tahun disyaki menjadi mangsa eksploitasi, pengabaian dan penganiayaan di premis dipercayai milik GISBH diselamatkan.
Malah dakwaan mengatakan anak-anak penghuni rumah amal dipisahkan daripada ibu bapa dan tidak dibayar gaji merupakan kisah lama yang terus berakar umbi dalam organisasi berkenaan.
“Sebenarnya apa yang dilakukan oleh kumpulan itu telah dilaporkan kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan pihak penguat kuasa, namun tindakan pihak berkuasa tidak seagresif ini.
“Kisah GISBH ini kembali tercetus selepas pendedahan yang dilakukan oleh Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin,” katanya kepada Sinar Premium.
“Kalau melawan sekalipun, jemaah akan dikenakan hukuman atau dikuarantin,” dedahnya.
Pemikiran isteri, anak didoktrin
Shahrul yang kini menetap di utara tanah air pernah melalui keperitan dalam hidup selepas dipisahkan bersama isteri dan enam orang anaknya selama tiga tahun oleh organisasi tersebut yang dahulunya dikenali sebagai Global Ikhwan Sdn Bhd (GISB).
Mengimbau kembali pembabitannya sebelum diisytiharkan sebagai musuh oleh organisasi pimpinan isteri kedua Abuya, Allahyarham Hatijah Aam atau lebih dikenali Ummu Jah yang bertindak sebagai Pengarah GISB, kerinduan terhadap keluarganya langsung tidak dapat diungkap dengan kata-kata.
ARTIKEL BERKAITAN: Banyak Baik Daripada Buruk, Betty Banafe Minta Jangan Cepat Jatuh Hukum Pada GISB - “Saya Bangga GISB Wujud Kerana…”
ARTIKEL BERKAITAN: Eksploitasi Kanak-Kanak, Agama: Modus Operandi GISB, Kanak-Kanak Dididik Cara Meliwat, Diliwat - KPN
Dalam GISB ketika itu, mana-mana jemaah yang bertindak keluar organisasi akan dianggap sebagai musuh kerana tidak lagi sehaluan.
Meninggalkan GISB pada tahun 2010, Shahrul langsung terputus hubungan bersama keluarganya selepas dihalang oleh kumpulan itu.
Dalam tempoh tiga tahun, Shahrul tidak berputus asa untuk mendapatkan kembali hak dirinya sebagai seorang suami dan bapa biarpun pelbagai dugaan terpaksa ditempuhi.
Mujur katanya, dengan bantuan kedutaan, dia dapat bertemu kembali dengan keluarganya.
“Anak dan isteri saya ditempatkan di beberapa negara di timur tengah.
“Apabila saya mengetahui mereka berada di negara itu, mereka kemudiannya dipindahkan ke negara lain. Itu adalah tindakan mereka untuk terus memisahkan saya dengan keluarga,” katanya.
Pun begitu katanya, pertemuan semula itu bukan berakhir di situ kerana keluarganya menolak untuk pulang ke tanah air kerana pemikiran mereka sudah didoktrin yang mengatakan dirinya sebagai seorang yang wajib dimusuhi selepas keluar daripada kumpulan itu.
Pulang ke tanah air secara bersendirian, Shahrul tidak berputus asa untuk memastikan anak dan isterinya kembali menerima dirinya.
“Saya keluar GISB kerana menyedari apa yang dilakukan oleh kumpulan itu adalah bertentangan dengan Islam dan perkara sama juga saya maklumkan kepada isteri supaya sedar dengan apa yang berlaku.
“Alhamdulillah pada 2013, isteri dan anak-anak kembali ke pangkuan saya,” katanya.
Mengimbau kembali perjalanan ketika menyertai al-Arqam dan kemudiannya GISB, Shahrul menyertai pertubuhan itu, ketika berumur 17 tahun, pada 1984.
Beliau yang berasal dari Kedah, berkahwin dengan isterinya, juga pengikut al-Arqam, pada tahun 1992, sebelum bersama-sama melanjutkan pelajaran di luar negara.
Beliau mula sangsi dengan perjuangan GISB selepas menyedari berlaku penyelewengan dalam pendidikan penghuni rumah amal.
“Pelajar digunakan untuk mencari dana. Dari sudut pendidikan pula, tenaga pengajar bukan terdiri daripada tenaga pelatih, hanya menjadikan ahli sebagai guru.
“GISB menggunakan platform tahfiz tetapi tidak serius menggunakan platform tersebut,” dakwanya.
Pihak berkuasa perlu tegas
Biarpun polis dapat menyelamatkan 402 kanak-kanak di 20 buah rumah amal di Selangor dan Negeri Sembilan, Shahrul meluahkan kebimbangan mereka akan kembali kepada pertubuhan itu sekiranya tiada tindakan susulan dilakukan.
Katanya, Jakim dan pihak berwajib lain perlu memastikan bahawa anak-anak itu kembali kepada pangkuan ibu bapa kerana pada bila-bila masa sahaja mereka akan kembali kepada pertubuhan itu kerana pemikiran mereka sudah didoktrin.
“Saya pernah berdepan dengan situasi serupa. Bukan mudah untuk membersihkan pemikiran mereka yang sudah didoktrin.
“Sebab itu, pihak berkuasa perlu ada langkah susulan dan bertindak tegas dalam memastikan mereka ini tidak terus terjerumus,” katanya.
Shahrul turut menggesa supaya pihak berkuasa melakukan pemantauan rumah amal pertubuhan itu di negeri lain kerana tidak mustahil perkara sama turut berlaku.
“Hanya dua buah negeri yang diselamatkan. Itu pun sudah mencecah bilangan 500 penghuni. Bayangkan kalau satu Malaysia? Berapa jumlah kanak- kanak yang dapat diselamatkan,” katanya.
Sumber - Sinar Harian