Laman Utama

“Diri Saya Takda Apa-Apa Untuk Didengkikan” - Hafiz Mahamad & Isteri Terkena Buatan Orang

Gempak
06/09/2021
01:50 MYT
Sponsor Banner
“Diri Saya Takda Apa-Apa Untuk Didengkikan” - Hafiz Mahamad & Isteri Terkena Buatan Orang
Ahli perniagaan dan personaliti media sosial popular, Hafiz Mahamad akhirnya membuka mulut mengenai situasi sebenar yang berlaku ke atas belahan jiwanya, Syafiqah Aina.
Menerusi sesi siaran langsung di Instagram semalam, Hafiz berkata, isterinya kini berada dalam keadaan stabil selepas mendapatkan rawatan dengan seorang ustaz yang juga pengamal perubatan Islam.
“Selepas berubat dengan ustaz berkenaan, alhamdulillah, keadaan Aina kini kembali seperti sedia kala,” katanya.
Hafiz mengulas mengenai beberapa hantaran video di Instagram Storynya sebelum itu yang memperlihatkan Aina menangis sewaktu sedang mendapatkan rawatan dengan seorang ustaz.
Dalam masa yang sama, Hafiz turut berkongsi mengenai pengalamannya berdepan dengan situasi mistik berkenaan.
“Sebenarnya saya sudah mengalami rasa tidak sedap badan sejak lebih setahun. Rasa letih dan kadang-kadang seperti ada orang ‘menemani’ saya ketika saya bekerja berseorangan dalam bilik.
“Tetapi, saya jenis tak berapa percayakan perubatan secara kerohanian. Setiap kali sakit, saya mesti pergi hospital. Tetapi entah kenapa sejak akhir-akhirnya ini, gerak hati saya kuat untuk mendapatkan rawatan Islam,” kata Hafiz.
Selepas Hafiz memberitahu niatnya untuk bertemu ustaz bagi mendapatkan rawatan, Aina secara tiba-tiba berkongsi yang dia juga mengalami lebam-lebam pada bahagian kaki.
“Selepas ustaz berkenaan menyentuh saya, dia tahu ada sesuatu yang tidak kena dengan saya. Tetapi, apabila dia sentuh ibu jari kaki Aina pula, isteri saya terus menangis dan meraung,” ujar Hafiz yang turut berkongsi keadaan isterinya ketika sedang menjalani rawatan berkenaan.
Hafiz menambah, ‘benda’ yang dihantar itu sebenarnya bertujuan untuk merosakkan dirinya.
“Ustaz berkata, ‘benda’ itu ditujukan kepada saya tetapi dihantar melalui Aina. Kemudian, ustaz juga berkongsi yang kemungkinan besar ia dihantar menerusi makanan.
“Saya faham, ramai yang mengirimkan makanan kepada saya dan saya review makanan mereka secara percuma. Tetapi saya cakap dengan Aina, walaupun kita diuji sebegini, namun, ia tak membuatkan kita untuk tidak terus membantu orang lain,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Hafiz turut memberitahu dia nampak perubahan yang ketara pada Aina selepas sesi perubatan berkenaan.
“Apa yang saya amati, sejak dia bersalin, Aina kerap naik angin, suka marah, waima benda kecil sekalipun. Sampaikan saya rasa saya kehilangan isteri yang saya kenal. Namun saya bersyukur yang isteri saya sudah kembali,” tuturnya dalam nada sebak.
Hafiz turut berkata yang dia sentiasa memaafkan sesiapa sahaja yang melakukan hal yang tidak baik itu kepadanya.
“Diri saya ini tidak ada apa-apa untuk didengkikan. Saya juga tidak jadikan isteri dan anak sebagai korban untuk pemasaran produk. Apa pun, saya maafkan si pelaku dan reda dengan apa yang telah terjadi.
“Saya berharap agar kawan-kawan semua dapat mendoakan kesejahteraan saya sekeluarga,” tutup Hafiz.
Hafiz mendirikan rumah tangga bersama Aina pada 24 November 2017 dan pasangan tersebut dikurniakan cahaya mata perempuan, Raisya Arisa pada 26 Jun 2019.
Related Topics
Must-Watch Video
Unitar