Laman Utama
Ditawar Habuan Lumayan Jadi Duta Produk, Eizlan Yusof; "Saya Tak Boleh Ulas Lanjut..."
Pelakon dan pengarah Datuk Seri Eizlan Yusof terkejut dan enggan mengulas lanjut apabila dikhabarkan masih laris diburu untuk menjadi duta produk.
Jelas Eizlan, 51, proses rundingan masih berlangsung dan akan berkongsi seandainya benar seperti yang didakwa.
"Dari sumber mana anda mendengar cerita ini?
"Jujurnya, segala-galanya masih dapat perbincangan. Saya tak boleh mengulasnya dengan lebih lanjut.
"Jika ditakdirkan menjadi rezeki, saya pasti akan berkongsi. Jadi, kita tunggulah pengumumannya nanti," katanya.
Bagaimanapun, Eizlan bersyukur dengan rezeki yang dikurniakan tidak putus-putus.
"Saya sangat bersyukur. Siapa sangka dalam usia 50-an, sentiasa ada ruang dan rezeki diberikan.
"Saya percaya jika konsisten dan ikhlas bekerja sebagai anak seni, pasti pelbagai cabang rezeki diperoleh.
"Ini juga rezeki buat keluarga saya," tambahnya.
Terdahulu, Berita Harian melaporkan Eizlan mendapat tawaran habuan lumayan oleh sebuah syarikat yang menawarkannya untuk menjadi duta sebuah produk.
Syarikat terbabit dikhabarkan punyai 300 buah cawangan di seluruh Malaysia.
Sekitar tiga dekad lalu, Eizlan antara selebriti tempatan yang berjaya mencuri tumpuan sebagai model iklan hingga ke negara sekitar seperti Singapura, Thailand dan Indonesia.