Berita
Dokumen Kes Kanak-Kanak Autism, Adik Zayn Rayyan Selesai Diserahkan Kepada Pihak Pembelaan
Pihak pendakwaan melibatkan kes kanak-kanak Zayn Rayyan Abdul Matiin
memberitahu kesemua dokumen berkaitan kes telah diserahkan kepada pihak pembelaan.
BERITA BERKAITAN: Pertama Kali Hadir Ke Anugerah Temani Ibu, Anak-Anak Harap Rita Rudaini Menang! - “Memang Saya Yang Tawarkan…”
BERITA BERKAITAN: ERA, SINAR, GEGAR & ZAYAN Anjur Solat Hajat & Doa Selamat Untuk Pantai Timur
Timbalan Pendakwa Raya, Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin menegaskan semua dokumen itu akan digunakan masa perbicaraan berikutnya.
" Setakat ini tiada lagi dokumen lain akan diserahkan kepada pembelaan yang mewakili pasangan berusia 30 tahun itu dan tiada lagi dokumen akan diserahkan.
"Selain itu senarai saksi termasuk pernyataan saksi sekiranya ada, akan diserahkan kepada peguam sebelum perbicaraan melalui e-mel.
"Justeru saya pohon tarikh perbicaraan yang ditetapkan bermula 3 Februari depan dikekalkan," katanya pada sebutan semula kes itu di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya pada Jumaat.
Dalam pada itu, tertuduh pasangan suami isteri Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf yang diwakili peguam Haresh Mahadevan juga mengesahkan penerimaan laporan kimia dan cakera padat terbabit.
Sementara itu, Hakim Mahkamah Sesyen Dr. Syahliza Warnoh mengekalkan tarikh perbicaraan kes yang telah ditetapkan sebelum ini iaitu pada 3 Februari ini.
Sebelum ini, mahkamah menetapkan tarikh perbicaraan pada 20 hingga 24 Januari dan perbicaraan akan bermula pada 3 hingga 7 dan 17 hingga 21 Februari sementara Mac bermula 10 hingga 14.
Pada prosiding terdahulu, Raja Zaizul pernah memaklumkan pihak pendakwaan memohon satu tarikh sebutan yang telah dipersetujui kedua-dua pihak untuk mengemaskini segala dokumen berkaitan kes itu sebelum perbicaraan.
Media pada 13 Jun tahun lalu melaporkan Zaim Ikhwan dan Ismanira didakwa dan mengaku tidak bersalah mengabaikan anak mereka.
Mengikut pertuduhan, pasangan suami isteri berusia 29 tahun itu sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap anak mereka yang berusia enam tahun, didakwa bersama-sama mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.
Kesalahan itu dilakukan di sekitar jalan PJU 10/1 Damansara Damai di sini, antara pukul 12 tengah hari, 5 Disember dan pukul 9.55 malam pada 6 Disember 2023.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.